YAM Selangor meterai MoU jalin kerjasama dengan Ko-Arasy

- Advertisement -

SHAH ALAM: Yayasan Amal Malaysia (YAM) Cawangan Selangor memperkukuh peranannya dalam pembangunan komuniti apabila   memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ko-Arasy Slim River Berhad.

- Advertisement -

MoU itu adalah sebagai langkah awal dalam menjalin kerjasama strategik ke arah memperkasa pembangunan belia dan masyarakat secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.

Penasihat YAM Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dalam ucapannya memuji langkah proaktif yang diambil oleh YAM Selangor di bawah kepimpinan Pengerusinya, Mohd Nizam Idris.

Beliau menyifatkan penandatanganan MoU ini sebagai satu langkah yang amat positif, terutamanya dalam mendidik belia untuk menjadi usahawan berjaya.

“Agenda menandatangani MoU ini adalah satu langkah sangat baik kerana ia bukan sahaja membuka peluang untuk membina kerjasama lebih kukuh, tetapi juga memberi ruang lebih baik bagi mendidik belia untuk menjadi usahawan.

“Ini adalah usaha yang amat penting untuk masa depan masyarakat kita,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang.

Beliau turut mengimbas kembali sejarah penubuhan Yayasan Amal Malaysia yang telah berusia 25 tahun dan menekankan komitmen yayasan dalam program-program kemanusiaan.

“Antara program yang telah dilaksanakan adalah bantuan kemanusiaan untuk mangsa tsunami di Acheh, gempa bumi di Jogjakarta, dan juga di Lubnan.

“Saya sendiri terlibat secara sukarela dalam program bantuan kemanusiaan ini,” katanya dalam ucapan perasmian tersebut.

Sementara itu, Mohd Nizam dalam ucapannya menyatakan keyakinan beliau bahawa MoU ini akan memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak.

“Saya percaya bahawa pembangunan masyarakat hanya dapat dicapai dengan kerjasama yang mantap, dan kami yakin bahawa Ko-Arasy akan memainkan peranan penting dalam usaha ini,” katanya.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pelaksana yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan majlis ini.

“Tanpa kerjasama dan dedikasi mereka, majlis ini tidak akan terlaksana dengan begitu baik,” tambahnya.

Pengerusi Ko Arasy, Md Adha Nizam Shah Mahapaz pula mengucapkan tahniah kepada YAM Selangor atas kejayaan penganjuran majlis MoU tersebut.

“Kami sangat menghargai kerjasama ini dan kami percaya bahawa ini bukan sekadar satu majlis penandatanganan, tetapi adalah titik permulaan bagi usaha yang lebih besar, yang akan memberi manfaat luas kepada ummah,” katanya.

Majlis ini diakhiri dengan suasana penuh harapan dan optimisme, dengan kedua-dua pihak berjanji untuk terus bekerjasama dalam memajukan agenda pembangunan masyarakat dan memberi impak positif kepada belia serta masyarakat Malaysia secara keseluruhan.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut berlangsung di Pejabat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor di Seksyen 13, Shah Alam, baru-baru ini.

MoU ini disaksikan oleh para hadirin, termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi dari kedua-dua organisasi iaitu Dr Ahmad Yunus dan Yang Dipertua Ko-Arasy, Dato’ Abdul Hakim Hamidi. – HARAKAHDAILY 21/4/2026

- Advertisement -