2026 masih cari signal: Apa jadi infrastruktur Perak?

- Advertisement -

IPOH: Infrastruktur asas seperti capaian internet perlu diberi perhatian serius kerana ia bukan lagi perkara sampingan, sebaliknya menjadi keperluan utama dalam kehidupan moden.

- Advertisement -

Mohd Akmal Kamarudin (PN-Selama) menegaskan bahawa, kemudahan itu memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti ekonomi rakyat, khususnya dalam era digital yang semakin berkembang.

“(Perkara) ini bukan glamor, tetapi ia adalah asas kehidupan,” katanya ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, sehingga kini masih terdapat kawasan di Perak yang berdepan masalah capaian, apabila penduduk terpaksa keluar rumah sejauh antara 30 hingga 50 meter semata-mata untuk mendapatkan liputan telefon.

Beliau menjelaskan bahawa dalam konteks semasa, internet tidak lagi boleh dianggap sebagai kehendak semata-mata, sebaliknya menjadi syarat penting kepada ekonomi moden.

“Kalau mungkin lima tahun dulu adalah satu kehendak tapi ia adalah syarat kepada ekonomi moden pada hari ini. Dengan Shopee dengan Tiktoknya orang buat affiliate dan sebagainya,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperluas capaian internet perlu dipergiatkan dengan pendekatan lebih agresif, termasuk melaksanakan pemetaan kawasan ‘blind spot’ secara menyeluruh.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan supaya kerjasama lebih tegas dijalin dengan penyedia rangkaian bagi memastikan projek pembinaan menara telekomunikasi dan pemasangan gentian optik dilaksanakan mengikut garis masa yang jelas serta dipantau secara berterusan.

Beliau turut menyentuh bahawa kekurangan capaian internet menyebabkan sebahagian masyarakat tidak mendapat pendedahan secukupnya terhadap perkembangan ekonomi moden.

“Macam mana mereka nak dapat pendedahan ekonomi moden sedangkan capaian internet mereka pun tidak seperti yang ada di kawasan Bercham. 

“Kadang-kadang capaian mereka ni tidaklah seperti di Buntong dan sebagainya. Jadi pertingkatkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026

- Advertisement -