
DALAM sejarah diplomasi moden, jarang sekali sebuah kuasa besar terpaksa menerima agenda rundingan daripada negara yang baru sahaja ia cuba musnahkan.
Namun itulah yang berlaku pada 7 April 2026; hari yang bermula dengan ancaman terbuka Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap Iran di media sosial, dan berakhir, hanya sepuluh jam kemudian, dengan pengumuman gencatan senjata 14 hari yang dibina hampir sepenuhnya atas syarat-syarat Tehran.
Ini bukan sekadar jeda peperangan. Ini adalah pengakuan terbuka bahawa strategi tekanan maksimum Washington telah sampai ke penghujung jalannya.
Trump mendakwa Iran bersetuju mengekalkan Selat Hormuz terbuka sepanjang tempoh gencatan senjata, dan bahawa rundingan akan berjalan berdasarkan ‘Pelan 10 Perkara’ Iran; yang ia sendiri huraikan sebagai asas ‘operasional’ untuk perbincangan
Dan ia bahawa seorang presiden AS akan menggambarkan rangka kerja sebuah negara yang baru sahaja dianggap musuh utama sebagai ‘operasional’ adalah tanpa preseden dalam sejarah diplomasi Amerika moden.
10 tanda kekalahan strategik AS: Kemenangan Iran
1. Kegagalan pertukaran kerajaan: Objektif menumbangkan Republik Islam berakhir gagal sepenuhnya.
2. Kehancuran tentera Iran mustahil: Trump secara tersirat mengakui hasrat ini tidak akan terlaksana.
3. Kehinaan nuklear: Pelan memaksa Iran menyerahkan bahan nuklear berakhir dengan keaiban bersejarah.
4. Tiada sekatan peluru berpandu: Tuntutan ini langsung tidak muncul dalam Pelan 10 Perkara Iran.
5. Gerakan pemisahan dipadamkan: Pelan memecah belah Irangagal bencana sebelum sempat menyala.
6. Selat Hormuz tidak dibuka paksa: Amerika Syarikat menerima kawalan berterusan Iran dan hak bayaran transit.
7. Pelan 10 perkara Iran diterima: Iran menolak cadangan 15 perkara AS dan memaksa rangkanya sendiri.
8. Bencana pertahanan udara: Kegagalan musuh dicatat sebagai titik perubahan ketenteraan bersejarah.
9. Kredibiliti tentera AS musnah: Penghinaan ini mengubah susunan keselamatan global secara kekal.
10 Sekutu serantau sedar: Bergantung kepada Amerika Syarikat bermakna bergantung kepada ‘angin’ (perubahan).
AS-Israel gagal tumbangkan kerajaan Iran
Objektif paling asas kempen tentera Amerika Syarikat dan sekutunya, Zionis Israel adalah menumbangkan Republik Islam Iran. Matlamat itu gagal sepenuhnya.
Seperti yang ditunjukkan sejarah apabila Saddam Hussein melancarkan serangannya ke Iran pada 1980; tekanan ketenteraan luar biasanya menyatukan rakyat sekeliling kepimpinan mereka, bukan menghancurkannya.
Washington sepatutnya belajar daripada pengajaran ini. Namun, ia tidak berbuat demikian, dan kini menghadapi akibatnya.
Republik Islam Islam kini bukan sahaja masih teguh berdiri, malah muncul daripada konfrontasi ini dengan legitimasi dalaman dan maruah yang lebih kuat dan semakin padu.
Selat Hormuz: Kedaulatan Iran terbukti
Janji untuk membuka semula Selat Hormuz secara paksa tidak pernah terlaksana. Sebaliknya, menurut laporan Associated Press (AP), Iran mengekalkan kawalan ke atas selat sepanjang tempoh gencatan senjata dan terus memungut bayaran transit bersama Oman.
Selat Hormuz mengangkut hampir 20 peratus bekalan minyak mentah global.
Justeru, ini menunjukkan Washington secara tersirat telah mengiktiraf autoriti Iran ke atas laluan maritim paling strategik di dunia; satu konsesi geopolitik yang tiada tandingannya dalam sejarah moden.
Pelan 10 Perkara’ Iran: Tuntutan asal AS senyap ditelan sejarah
Pelan 10 Perkara’ Iranyang kini menjadi asas rundingan merangkumi jaminan bukan-pencerobohan yang mengikat; pengiktirafan kawalan Iran ke atas Selat Hormuz; penerimaan hak pengayaan uranium; penghapusan semua sekatan primer dan sekunder; penamatan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) terhadap Iran; pampasan perang; pengunduran penuh tentera tempur AS dari rantau Asia Barat; dan gencatan senjata menyeluruh termasuk konflik Israel-Hezbollah di Lubnan.
Amat signifikan, apabila tiada sepatah pun dalam Pelan 10 Perkara ini yang menyentuh sekatan ke atas program peluru berpandu Iran; menjadikan tuntutan asal Washington mengenai misil Tehran telah ditelan senyap oleh sejarah.
Kredibiliti tentera AS: Luka yang tidak dapat dipulihkan
Sejak Perang Dunia Kedua, pengaruh global Amerika bergantung kepada satu andaian tunggal: bahawa kekuatan tenteranya tidak dapat ditandingi.
Andaian itu kini tergugat secara terbuka. Kegagalan sistem pertahanan udara pihak musuh akan dicatat dalam sejarah ketenteraan sebagai titik perubahan; membuktikan bahawa negara bukan-Barat mampu bertahan dan beroperasi dalam persekitaran ancaman paling ekstrem.
Washington masih boleh menghunus pedang, tetapi selepas perang yang gagal mencapai satu pun objektifnya, ancaman sedemikian semakin terdengar kosong.
Sekutu serantau pula kini terpaksa menelan hakikat pahit: bergantung kepada Amerika Syarikat dalam masa krisis bermakna bergantung kepada angin perubahan.
Implikasi terhadap Malaysia dan Asia Tenggara
Perubahan ini bukan sekadar isu Timur Tengah. Penyepaduan semula ekonomi Iran ke dalam sistem perdagangan global yang kini semakin mungkin jika rundingan Islamabad berjaya, ia akan membuka semula peluang yang signifikan bagi rantau ini. Iran memiliki simpanan gas asli terbesar kedua dan rizab minyak ketiga terbesar di dunia.
Kerjasama ekonomi yang dipulihkan antara Iran dan rakan Asia boleh mengubah laluanbekalan tenaga dan pelaburan rantau ini secara ketara.
Malaysia, dengan dasar luar bebas dan berkecualinya, berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan lanskap geopolitik baharu ini.
Rundingan Islamabad mungkin gagal. Diplomasi di peringkat inijarang berjaya pada percubaan pertama.
Namun satu kesimpulan tidak dapat dielakkan, iaitu aturan geopolitik Timur Tengah telahberubah. Iran telah membuktikan bahawa tekanan ketenteraanboleh ditahan, agenda diplomatik boleh ditentukan atas syarat sendiri, dan sebuah negara boleh muncul daripada konfrontasi dengan kedudukan yang lebih kukuh.
Bagi para penggubal dasar di Kuala Lumpur, Beijing, Brussels dan di luar sana, implikasi nperubahan ini akan bergema selama beberapa dekad yang akan datang.
DR ABDOLREZA ALAMI
Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) – HARAKAHDAILY 9/4/2026




















