Isu pemandu mabuk: Hukuman perlu diperketatkan

Dr Ab Halim Tamuri
- Advertisement -

SHAH ALAM: Susulan insiden kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk yang berlaku semalam, PAS Selangor menegaskan agar hukuman perlu diperketatkan lagi agar menjadi pengajaran yang jelas dan tegas kepada semua.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri, berkata dalam masa yang sama, keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka tidak boleh terus tertangguh.

Pihaknya memandang serius dan berdukacita atas insiden seumpama ini yang disifatkannya  bukan lagi kes terpencil, malah berulang kali berlaku, menunjukkan bahawa langkah sedia ada masih belum cukup berkesan untuk membendungnya.

“Hakikat bahawa kemalangan sebegini masih berlaku menunjukkan bahawa undang-undang dan tahap penguatkuasaan pada hari ini belum benar-benar menggerunkan masyarakat.

“Ketegasan di atas kertas tidak bermakna sekiranya pelaksanaan di lapangan masih longgar dan tidak konsisten,” katanya menerusi kenyataan media di laman sosial, hari ini.

Menurut beliau, walaupun kerajaan telah meningkatkan hukuman terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, peningkatan tersebut masih belum memadai untuk memberi kesan pencegahan yang benar-benar kuat.

Dalam pada itu, Ab Halim berkata, PAS Selangor mencadangkan beberapa langkah tambahan bagi menangani isu ini.

“Pertama, pampasan automatik diberikan kepada keluarga mangsa sekiranya pemandu didapati bersalah, tanpa perlu melalui proses saman sivil yang panjang dan membebankan.

“Kedua, prinsip diyat juga boleh dipertimbangkan sebagai mekanisme tambahan selaras dengan nilai keadilan dan ihsan dalam Islam.

“Seterusnya, penarikan balik lesen seumur hidup ke atas pesalah yang disabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Selain itu, katanya pihak berwajib perlu mewujudkan pangkalan data khas bagi individu yang dikenal pasti sebagai peminum tegar (alcoholic) bagi memudahkan pemantauan dan intervensi secara sistematik.

Tambah beliau, pendekatan pencegahan melalui sistem sokongan, termasuk kaunseling percuma dan program pemulihan bagi individu yang berdepan ketagihan alkohol, perlu diperkuat bagi menangani masalah dari akar umbi.

Ab Halim turut menegaskan bahawa keselamatan rakyat di jalan raya adalah tanggungjawab bersama, dan kerajaan perlu bertindak lebih tegas, menyeluruh serta berani dalam menangani isu pemandu mabuk.

Terdahulu, seorang penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 30-an maut selepas dipercayai dirempuh seorang pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang pada Ahad. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata siasatan awal mendapati pemandu sebuah kereta Honda City dipercayai memandu laju, memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.

Mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah.

Suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – HARAKAHDAILY 30/3/2026

- Advertisement -