
KUALA LUMPUR: Kerangka hukuman diyat atau pampasan kepada mangsa wajar diberi perhatian khusus dalam usaha menangani kes kemalangan maut, khususnya yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, berkata cadangan itu timbul susulan kejadian tragis di Klang semalam yang sekali lagi meragut nyawa akibat kecuaian pemandu mabuk.
Beliau berkata, kes kemalangan seumpama itu bukan lagi terpencil, sebaliknya semakin berulang dan membimbangkan kerana melibatkan orang awam yang tidak bersalah.
“Walaupun isu ini belum ditangani secara menyeluruh, kesannya amat besar kepada keluarga mangsa yang terpaksa menanggung kehilangan serta beban kehidupan selepas tragedi,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, pembayaran diyat atau pampasan kepada mangsa dan keluarga merupakan salah satu cabang hukuman dalam Islam yang menekankan aspek kebajikan.
“Ia bukan sahaja soal menghukum pesalah, tetapi juga memastikan kebajikan mangsa dan keluarga mereka terbela,” katanya.
Ahmad Yahaya menegaskan bahawa sistem diyat wajar diintegrasikan dalam kerangka perundangan sedia ada supaya menjadi sebahagian daripada hukuman yang perlu ditanggung oleh pelaku.
Katanya, hukuman berat semata-mata tidak mencukupi sekiranya keluarga mangsa terus menanggung beban tanpa mekanisme perlindungan yang jelas dan berkesan.
Beliau turut menjelaskan bahawa mekanisme tuntutan ganti rugi sedia ada di bawah Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan Kanun Tatacara Jenayah masih perlu diperhalusi serta diperkasakan.
“Pembayaran diyat seharusnya dijadikan satu kewajipan yang dilaksanakan secara automatik tanpa perlu permohonan dibuat oleh pihak mangsa,” ujarnya.
Selain itu, beliau mencadangkan agar elemen pembayaran diyat dimasukkan dalam peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memastikan pesalah bertanggungjawab membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mereka.
Tambah beliau, sistem diyat perlu dibezakan daripada insurans perlindungan kemalangan kerana ia merupakan kewajipan yang dipikul oleh pesalah dan pemerintah, bukan sekadar perlindungan kewangan semata-mata.
Dalam pada itu, Ahmad Yahaya berkata mahkamah wajar mempertimbangkan jumlah diyat berdasarkan impak sebenar yang ditanggung oleh mangsa dan keluarga selepas kemalangan.
“Langkah ini mampu memberikan keadilan yang lebih menyeluruh serta menonjolkan keindahan sistem jenayah Islam sebagai penyelesaian kepada permasalahan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang semalam, seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai dirempuh pemandu mabuk.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata kemalangan kira-kira jam 11.40 pagi itu membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta.
“Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City dipandu lelaki tempatan berusia 20-an dari arah Jalan Raya Barat menghala ke bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa lelaki tempatan berusia 30-an tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah.
“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan akan direman. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, didenda antara RM50,000 hingga RM100,000, serta lesen memandu digantung serta-merta.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2026




















