Kedah ambil langkah wajar hadapi kemarau

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri menerusi agensi berkaitan akan berusaha mengambil langkah tertentu berikutan paras air di empangan semakin surut akibat cuaca panas yang agak melampau melanda Kedah ketika ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, fenomena yang berlaku tahun lepas, berulang lagi pada tahun ini dan memerlukan perhatian segera.

“Tahun lepas ketika lawatan saya ke Empangan Gubir, paras air surut tetapi paras air di sungai-sungai masih stabil. Kali ini pun begitu juga, paras air di empangan menunjukkan penyusutan, tetapi paras air sungai ok.

“Tengok sahaja Sungai Kedah, air masih banyak,” kata beliau ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar, di Seri Mentaloon, malam tadi.

Beliau juga memaklumkan, pada tahun lalu, hujan turun selepas Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) mengadakan pembenihan awan dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di ruang udara Empangan Gubir.

Selain LSANK, menerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga ujarnya, pembenihan awan turut dilakukan pada tahun lalu.

“Tahun ini kita akan ulang proses yang sama. Saya mengharapkan agensi-agensi berkaitan mengambil perhatian. Mereka juga punyai SOP (prosedur operasi standard) tertentu apakah langkah-langkah serta tindakan yang perlu dibuat mendepani masalah kemarau ini.

“Semuanya (dalam menghadapi keadaan cuaca tersebut) kita serah kepada Allah beri pertolongan kepada kita. Allah bagi rezeki, Allah bagi kita air dan Allah bagi kita semua.

“Lagipun sekarang ni musim menuai,  kalau musim menabur petak sawah perlukan air. Tuai dalam keadaan tanah kering, mesin tidak lekat atau tersangkut,” tambah beliau.

Kata Sanusi lagi, cuaca panas yang melanda Kedah ketika ini sukar diramal sebab dua daerah yang dikatakan terpanas, iaitu Padang Terap dan Sik merupakan kawasan berbukit-bukau dan berhutan belantara.

Sebaliknya kata beliau, daerah atau kawasan yang tiada berpokok atau berbukit bukau, kurang panas.

“Harap takdir yang baik untuk kita,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Kelmarin, Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kedah, dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Pejabat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mengadakan solat sunat Istisqa’ memohon diturunkan hujan di 12 daerah seluruh Kedah.

Dalam masa yang sama, semua masjid seluruh Kedah juga digalakkan mengadakan sunat sunat berkenaan berikutan cuaca panas serta kering melampau melebihi 37 darjah Celcius yang dialami negeri ini. – HARAKAHDAILY 28/3/2026

- Advertisement -