Ketua Pembangkang dari PAS akan dimuktamadkan

Sebelum Sidang Parlimen

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketua Pembangkang baharu yang akan dicalonkan daripada dijangka dimuktamadkan pelantikannya sebelum akhir bulan ini menjelang persidangan Parlimen Malaysia akan datang.

- Advertisement -

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemilihan itu akan mengambil kira pandangan semua Ahli Parlimen PN selaras dengan amalan biasa dalam kalangan parti pembangkang.

“Ketua Pembangkang akan dipilih daripada Ahli Parlimen PAS. Untuk pemilihan ini, pandangan Ahli Parlimen akan diambil kira sebagaimana pelantikan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, proses tersebut sama seperti pelantikan terdahulu yang menyaksikan Dato’ Seri Hamzah Zainuddin dilantik sebagai Ketua Pembangkang hasil persetujuan bersama dalam PN.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’  Mohd Nassuruddin Daud.

Terdahulu, media melaporkan PAS akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, manakala nama calon akan diumumkan kemudian.

Ketika ini, jawatan tersebut masih disandang oleh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut.

Tambahnya, pelantikan Ketua Pembangkang baharu perlu mendapat persetujuan parti-parti komponen PN melalui Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi gabungan itu.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan PN kini bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka.

“Jentera PN sudah bersedia. Kita akan mengadakan majlis Aidilfitri di Melaka pada 11 April dan selepas itu gerakan pilihan raya akan bermula,” katanya.

Menurutnya, soal pemilihan calon tidak menjadi isu dan akan dibincangkan bersama empat parti komponen dalam PN. – HARAKAHDAILY 28/3/2026

- Advertisement -