
ALOR SETAR: Pengunjung mula membanjiri pekarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon, seawal jam 3.30 petang walaupun jamuan bermula pada jam 5.00 petang.
Masing-masing kelihatan begitu teruja, bukan sahaja untuk menikmati juadah yang disediakan tetapi untuk bertemu dan bersua muka dengan pemimpin tersayang.
Pelbagai ragam bersama keluarga, anak-anak kecil, berkerusi roda, berpimpin selain siap memakai pakaian sedondon menceriakan lagi suasana sambutan Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah, Syawal ketujuh ini.
Sebanyak 46 menu makanan disediakan seperti bihun sup, ketupat dan rendang, mee goreng, keropok lekor, biskut raya, kuih tradisional dan pelbagai lagi makanan yang enak serta lazat menanti para pengunjung.
Pengarah Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, antara 46 menu tersebut, nasi daging riyas pisang yang dibawa khas oleh PAS Kawasan Sik.
“Sebanyak 16 kawah nasi disediakan, dua ekor kerbau ditumbangkan khas untuk jamuan hari ni,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas.
Jelasnya lagi, pada tahun ini, pihak penganjur menyediakan kawasan yang lebih luas untuk gerai makanan meletakkan kiosk masing-masing untuk mengelak kesesakan.
Dalam pada itu, kanak-kanak antara pengunjung yang paling gembira kerana menerima duit raya yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar kali ini turut mendapat kerjasama dari pihak penaja sama ada anak syarikat Kerajaan Negeri, syarikat korporat, PAS Kedah dan lain-lain.
Sehingga jam 6.00 petang lebih daripada 30,000 pengunjung telah membanjiri pekarangan Seri Mentaloon, di mana dijangkakan kehadiran akan lebih ramai lagi pada sebelah malam nanti.
Pada sebelah malam, hadirin berpeluang bertemu dengan beberapa pempengaruh terkenal, antaranya Faiz Soul, Aisyah Pak Karim, Ustaz Firdaus Firabib dan akan dihiburkan oleh penyanyi hebat, M.Nasir.
Rumah Terbuka Aidilfitri kali ini juga menyediakan booth permainan seperti ‘dart’ dan ‘photo booth’ untuk para pengunjung merakamkan kenangan.
Dijangkakan 80,000 pengunjung akan hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri kali ini. – HARAKAHDAILY 27/3/2026

























