Perkembangan mutakhir perang Iran – AS – negara haram Israel

- Advertisement -

MEDIA Iran, Tasnim melaporkan bahawa lebih daripada 1 juta anggota tentera dan pejuang telah dikerahkan untuk bersiap sedia dalam pertempuran di darat berikutan kemungkinan besar tentera Amerika Syarikat (AS) akan melancarkan operasi ketenteraan darat di Iran.

Wall Street Journal melaporkan bahawa Pentagon sedang mempertimbangkan untuk menghantar tambahan 10,000 anggota tentera Amerika Syarikat ke Timur Tengah untuk memberi lebih banyak pilihan kepada Donald Trump.

Axios melaporkan bahawa Pentagon bersiap sedia untuk ‘serangan terakhir besar-besaran’ jika Amerika Syarikat gagal dalam perundingan dan Selat Hormuz masih lagi ditutup.

- Advertisement -

Tentera Iran atau IRGC terus ‘menghujani’ negara haram Israel dengan serangan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan Tel Aviv, Haifa, Dimona, Jerusalem, Petah Tivka, Haifa, Kfar Qasim,  dan lain-lain tempat lagi.

Tentera Iran atau IRGC terus melancarkan serangan udara dan dron ke atas aset-aset strategik dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di Bahrain, UAE, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Jordan dan Erbil di wilayah Kurdistan termasuk pangkalan tentera udara Victoria di Baghdad, Iraq.

Hizbullah terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara haram Israel dengan menyasarkan serangan ke atas Tel Aviv, Safed, Dalton, Jish, Galilee, Haifa, Dishon, Malikiya, Nahariya, Kiryat Shmona, Acre, Margaliot dan sebahagian besar wilayah utara negara haram Israel.

Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran dengan menyasarkan Tehran, Isfahan, Bandar Abbas, Arak, Mashhad, Tabriz, Urmia, Khorramabad, Qom dan lain-lain tempat lagi. Tentera udara Amerika Syarikat dilaporkan turut melancarkan serangan ke atas fasiliti Popular Mobilisation Front (PMF) di Kirkuk, Iraq.

Tentera udara negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Lubnan dengan menyasarkan Beirut, Bint Jbeil, Kfar Reman, Dier Siryan, Al-Qantara, Sohmor, Froun, Zawtar al-Sharqiya, Khiam, Taybeh dan sebahagian besar bandar di selatan Lubnan.

Wall Street Journal melaporkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberitahu pembantunya bahawa beliau mahu mengelak perang yang berpanjangan dan mahu mengakhiri konflik tersebut seberapa segera. 

Buat kali ketiga, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menangguhkan serangan ke atas infrastruktur tenaga Iran sehingga 6 April berikutan rundingan sedang berlangsung. Dalam masa yang sama Iran menafikan terdapat sebarang hubungan mahu pun rundingan dengan Amerika Syarikat.

Media Iran, Fars News Agency melaporkan bahawa Iran telah mengeluarkan amaran kepada pemilik-pemilik hotel di Timur Tengah khususnya di UAE dan Bahrain yang menyatakan bahawa mana-mana lokasi yang menjadi penempatan tentera asing walau di mana sekalipun, akan dianggap sebagai sasaran ‘pertahanan’ yang sah.

‘Think Tank’ yang mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Pakistan, Pakistan Strategik Forum memberi amaran keras kepada negara haram Israel apabila peluru berpandu daripada serangan tentera udara negara haram Israel ke atas Tehran hampir mengenai bangunan Kedutaan Pakistan di Tehran dengan menyatakan “negara haram Israel perlu ingat, Pakistan bukan Qatar. Kami akan ‘membelasah’ mereka jika sebarang kemudharatan berlaku ke atas diplomat kami, di mana saja di dunia”.

Ketua Turus Angkatan Tentera Rejim Penjajah Zionis Israel, Eyal Zamir memberi amaran dalam mesyuarat terbaharu Kabinet Perang negara haram Israel yang turut dihadiri Benjamin Netanyahu dengan menyatakan bahawa tentera rejim penjajah Zionis Israel kini berada ‘di ambang kehancuran’ dan mengetengahkan apa yang disifatkan sebagai ‘10 amaran bahaya’ keadaan semasa tentera rejim penjajah Zionis Israel.

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dalam satu wawancara dengan media Rusia menyatakan “setiap kali Amerika Syarikat campur tangan di Timur Tengah, keadaan menjadi sangat menyedihkan; Iraq, Libya, Syria semuanya hancur, sekarang perkara yang sama berlaku ke atas Iran”.

Duta UAE ke Amerika Syarikat, Yousef Al-Otaiba dalam tulisannya yang disiarkan oleh The Wall Street Journal menyatakan bahawa Iran mesti ditumpaskan untuk menghapuskan ancaman kepada Timur Tengah bagi kepentingan Amerika Syarikat.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
7 Ramadan 1447H / 27 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 27/3/2026

- Advertisement -