
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib menegaskan kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen seliter di Semenanjung Malaysia memberi impak besar kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar termasuk di kawasannya.
Beliau mendesak kerajaan supaya mengkaji semula mekanisme kenaikan yang terlalu mendadak kerana langkah ‘kejutan’ sebegini hanya mencetuskan panik ekonomi.
“Kerajaan perlu lebih empati terhadap denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi yang kini bergelut untuk mengimbangi perbelanjaan harian.
“Kita akan terus membawa suara rakyat bagi memastikan kebajikan mereka tidak dikorbankan demi agenda fiskal semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
Muhammad Ismi menegaskan, kenaikan itu menimbulkan tiga kesan utama kepada rakyat, antaranya memberi tekanan terhadap sektor pertanian dan perkebunan kecil.
Beliau berkata, majoriti penduduk Parit adalah petani, pesawah dan pekebun kecil yang bergantung kepada jentera berat dan kenderaan pengangkutan diesel.
Kenaikan 80 sen itu katanya akan meningkatkan kos operasi berkali ganda, sekali gus mengecilkan pendapatan bersih petani dan meningkatkan risiko kemiskinan tegar di kawasan luar bandar.
Kedua katanya, kenaikan harga diesel menimbulkan kesan domino terhadap harga barang keperluan kerana diesel adalah nadi rantaian logistik.
Kenaikan kos pengangkutan itu jelas beliau akan dipindahkan kepada pengguna akhir, menyebabkan harga barangan asas seperti beras, sayur-sayuran dan barangan runcit meningkat, sekali gus mencetuskan gelombang inflasi baharu.
Ketiga tambah Ismi, ia memberi kesan terhadap kos pengangkutan murid sekolah dan perkhidmatan awam kerana pengusaha bas sekolah dan van di kawasan luar bandar bakal terpaksa menaikkan tambang akibat kenaikan harga diesel.
“(Langkah ini akan) akhirnya membebankan ibu bapa yang sudah pun sedia terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2026




















