Dunia digital sambut raya: Nilai tradisi terancam

FAIZZUDDIN MOHD ZAI
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai menegaskan generasi muda tidak boleh membiarkan dunia digital menggantikan keikhlasan dan pertemuan fizikal semasa Hari Raya Aidilfitri.

- Advertisement -

Beliau menekankan media sosial seharusnya digunakan sebagai alat untuk memperkukuhkan tradisi, bukan menggantikan pertemuan dan nilai kekeluargaan yang menjadi tunjang sambutan Aidilfitri.

“Asas sebenar Hari Raya tidak pernah berubah. Ia tetap berteraskan amalan ziarah, bermaafan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Tradisi inilah yang perlu terus dipelihara walaupun cara kita berinteraksi semakin dipengaruhi teknologi,” katanya kepada Harakahdaily.

Faizzuddin berkata, aplikasi seperti WhatsApp, Instagram, dan TikTok boleh membantu menyusun jadual kunjungan, berkongsi lokasi rumah terbuka, dan merakam kenangan Hari Raya, tetapi kemudahan digital ini tidak boleh menggantikan sentuhan fizikal.

“Hakikatnya, tiada apa yang mampu menandingi kehangatan berjabat tangan, keikhlasan memohon maaf secara bersemuka, dan kegembiraan berkumpul bersama insan tersayang.

“Ucapan ‘Selamat Hari Raya’ melalui skrin tidak akan pernah menyamai nilai emosi daripada pertemuan secara langsung,” tegas beliau.

Beliau turut menekankan fenomena generasi muda yang semakin asyik menundukkan wajah ke skrin telefon semasa kunjungan Hari Raya.

“Saya lihat ada segelintir individu lebih sibuk merakam gambar untuk dimuat naik, mengejar ‘likes’ dan komen, atau leka melayan kandungan digital sehingga mengabaikan perbualan yang sepatutnya menjadi inti kepada pertemuan tersebut.

“Jika keadaan ini dibiarkan, ia berpotensi menghakis nilai kebersamaan yang menjadi asas sambutan Hari Raya,” katanya.

Faizzuddin turut menegaskan keseimbangan dalam penggunaan media sosial amat penting.

“Hari Raya harus terus diraikan sebagai ruang untuk memperkukuhkan hubungan kekeluargaan melalui pertemuan, perbualan, dan sentuhan kemanusiaan yang tidak boleh digantikan oleh dunia digital.

“Nilai-nilai ini tidak boleh diukur melalui jumlah tontonan, ‘likes’, atau perkongsian di media sosial.

“Ia hanya dapat dirasai melalui keikhlasan hati dan interaksi yang tulus antara manusia,” jelasnya.

Justeru, katanya lagi dalam dunia tanpa sempadan ini, teknologi mungkin menghubungkanseseorang itu dengan lebih ramai orang, tetapi hanya keikhlasan dan kehadiran sebenar yang mampu mendekatkan hati,. 

Untuk rekod, Hari Raya Aidilfitri merupakan sambutan paling penting dalam kalendar umat Islam di Malaysia.

Ia menandakan berakhirnya bulan Ramadan dan menjadi momen utama untuk menjalin silaturahim, memohon maaf, dan meraikan kejayaan menunaikan ibadah puasa.

Tradisi ziarah, rumah terbuka, dan perkongsian juadah menjadi tunjang utama sambutan ini sejak turun-temurun. – HARAKAHDAILY 20/3/2026

- Advertisement -