Beraya di kampung: Kenapa sanggup harungi kesesakan teruk?

- Advertisement -

SETIAP kali tiba sambutan Hari Raya Aidilfitri, fenomena ‘balik kampung’ menjadi satu tradisi besar yang sinonim dalam kalangan masyarakat di Malaysia. 

- Advertisement -

Walaupun berdepan kesesakan lalu lintas yang teruk di lebuh raya utama, jutaan rakyat tetap memilih untuk pulang ke kampung halaman demi meraikan hari kemenangan bersama keluarga tersayang. 

Fenomena ini bukan sahaja mencerminkan nilai kekeluargaan yang tinggi, malah menunjukkan kekuatan budaya dan emosi yang mengatasi cabaran perjalanan jauh.

Data aliran trafik bagi musim perayaan menunjukkan peningkatan yang konsisten saban tahun. 

Pada tahun 2025, dianggarkan sekitar dua juta kenderaan keluar dari kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, dengan jumlah individu yang pulang ke kampung mencecah antara empat hingga lima juta orang. 

Untuk tahun 2026 pula, angka ini dijangka meningkat kepada sekitar 1.8 hingga 2.5 juta kenderaan, melibatkan kira-kira 4 hingga 6 juta individu di seluruh negara. 

Lonjakan ini menyebabkan aliran trafik meningkat sehingga dua hingga tiga kali ganda berbanding hari biasa, terutamanya pada dua hingga tiga hari sebelum Hari Raya.

Keadaan ini memperlihatkan bahawa walaupun kesesakan lalu lintas menjadi cabaran utama setiap tahun, keinginan untuk bersama keluarga dan menikmati suasana kampung tetap menjadi keutamaan, berbanding beraya di bandar.

Perbezaan suasana antara kampung dan bandar sering menjadi perbincangan setiap kali menjelang Syawal, apabila masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. 

Namun, elemen kekeluargaan, budaya dan nostalgia dilihat lebih dominan dalam mencorakkan kemeriahan sambutan, khususnya bagi mereka yang pulang ke kampung halaman.

Seorang penjawat awam, Adli Mohamed, 41, berkata suasana beraya di kampung memberi pengalaman yang lebih mengesankan, terutama apabila meningkat usia.

“Bagi saya, raya di kampung lebih bermakna kerana ia mengembalikan nostalgia, terutamanya apabila kita semakin berusia. Walau sejauh mana kita berada di bandar, perasaan untuk pulang ke kampung itu tetap kuat,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman menetap di bandar sebelum ini tidak menghalang keinginannya untuk memilih kampung sebagai destinasi utama setiap kali Aidilfitri.

Katanya, kepulangan perantau dari pelbagai lokasi ke kampung halaman turut menyumbang kepada kemeriahan suasana, sekali gus menjadikan persekitaran kampung lebih hidup dengan aktiviti kunjung-mengunjung serta pertemuan ahli keluarga.

“Apabila ramai perantau pulang, kampung jadi lebih meriah. Kita dapat bertemu saudara-mara, adik-beradik dan yang paling penting, ibu bapa. Di situlah nilai Aidilfitri lebih terserlah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, antara tarikan utama beraya di kampung ialah kepelbagaian juadah tradisional yang jarang ditemui di bandar, selain menjadi kegemaran anak-anak yang sentiasa teruja untuk pulang ke kampung.

“Bila sebut raya, anak-anak pun sudah terbayang untuk balik kampung. Mereka lebih seronok dengan suasana di sana, termasuk menikmati pelbagai kuih-muih tradisional yang disediakan,” katanya.

Jelas Adli, beliau tidak pernah terlintas untuk menyambut Aidilfitri di bandar kerana baginya, kemeriahan sebenar hanya dapat dirasai apabila bersama keluarga di kampung halaman.

Sementara itu, Nur Syazana Zulkifli, 31, berpandangan raya di bandar tidak semeriah di kampung walaupun ada kunjung mengunjungi sanak saudara.

“Beraya di bandar memang berbeza, suasananya tidak begitu terasa seperti di kampung. Walaupun semuanya lebih mudah dan lengkap, kemeriahan itu agak kurang. 

“Orang pun jarang berkunjung dari rumah ke rumah kerana masing-masing sibuk dengan komitmen, jadi kebanyakannya hanya berkumpul dengan keluarga terdekat. Kalau ada pun, biasanya sekadar menghadiri rumah terbuka,” katanya.

Bagi Suzila Ramli, 30, berkata, kampung memberikan pengalaman Aidilfitri yang lebih lengkap dengan kemeriahan sejak malam raya, takbir yang bergema, solat sunat Aidilfitri berjemaah, ziarah kubur dan kunjung-mengunjung tanpa henti.

“Beraya di kampung memang ada keistimewaannya yang tersendiri. Suasananya lebih meriah dan terasa kemesraan itu sejak malam raya lagi, dengan takbir bergema dan memasak juadah raya seperti lemang.

“Pagi raya pula lebih bermakna apabila dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama masyarakat setempat, diikuti dengan amalan ziarah kubur dan kunjung-mengunjung tanpa henti.

“Apa yang lebih istimewa, hubungan antara jiran dan saudara terasa lebih rapat kerana semua saling mengenali dan terbuka menerima kehadiran tetamu. 

“Juadah tradisional juga lebih pelbagai dan dibuat sendiri, menambahkan lagi rasa ‘raya’ yang sebenar,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2026

- Advertisement -