Melayu perlu bersatu seperti Jerman

Perikatan Nasional berpotensi jadi wadah arus perdana

Iskandar Abdul Samad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Iskandar Abdul Samad mengimpikan penyatuan bangsa Melayu seperti bangsa Jerman yang berjaya menyatukan negara mereka selepas era Perang Dingin.

- Advertisement -

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) itu berkata, walaupun berada dalam satu negara, orang Melayu dilihat lebih teruk berpecah berbanding keadaan bangsa Jerman ketika tempoh Perang Dingin.

Menurutnya, detik paling hampir penyatuan Melayu berlaku selepas tragedi 13 Mei 1969 dan penubuhan Muafakat Nasional pada 2019 selepas Barisan Nasional (BN) hilang kuasa, yang membuktikan PAS dan Umno berupaya mengenepikan perbezaan.

“Hari ini, Perikatan Nasional (PN) muncul sebagai platform politik yang paling berpotensi untuk menyatukan orang Melayu. 

“Dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri lalu, majoriti pengundi Melayu telah memberikan sokongan jelas kepada gabungan ini,” kata beliau dalam media sosial miliknya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PN tidak seharusnya dilihat sebagai wadah eksklusif untuk orang Melayu semata-mata, sebaliknya sebagai platform untuk seluruh rakyat Malaysia yang menolak ekstremisme dan cauvinisme dalam apa jua bentuk.

Sehubungan itu, katanya, PN perlu bersikap terbuka menerima mana-mana parti atau organisasi yang berkongsi aspirasi perjuangan dan berhasrat menyertai gabungan berkenaan.

Beliau berkata, kepimpinan mesti menunjukkan kematangan politik dan keterbukaan dalam memperkukuh kedudukan PN sebagai wadah politik arus perdana negara.

“Pimpinan juga perlu berjiwa besar, mengenepikan perselisihan dan pertelingkahan lama demi kepentingan masa depan negara.

“Elakkan daripada mempamerkan sebarang imej yang menggambarkan kecenderungan untuk membalas dendam, kerana rakyat sentiasa memerhati dan menilai dengan penuh teliti,” nasihatnya.

Dalam pada itu, Iskandar turut merujuk lagu kumpulan rock Jerman, Scorpions berjudul Wind of Change yang diterbitkan pada 1989, berlatarbelakangkan kejatuhan Soviet Union dan berakhirnya Perang Dingin antara blok Barat dan blok Komunis.

Beliau berkata, lagu itu juga sering dikaitkan dengan penyatuan bangsa Jerman, yang suatu ketika dahulu terbahagi kepada dua negara iaitu Jerman Barat dalam blok Barat dan Jerman Timur dalam blok Komunis.

Menurutnya, apabila Soviet Union tumbang, kedua-dua negara Jerman itu bersatu, dengan simbolik penyatuan berkenaan adalah runtuhnya Berlin Wall pada 1990 yang memisahkan bandar raya Berlin.

Walaupun lagu itu tidak digubah khusus untuk penyatuan bangsa Jerman, beliau berkata liriknya seolah-olah mengimpikan perkara tersebut.

“Cuba hayati 3 rangkap lagu tersebut, ‘And did you ever think? That we could be so close? Like brothers.’

“(Dan pernahkah kau terfikir?) (Bahawa kita boleh menjadi begitu rapat?) (Seperti saudara),” kata beliau memetik tiga rangkap lagu tersebut. – HARAKAHDAILY 5/3/2026

- Advertisement -