Kelantan-Jepun meterai kontrak pelancongan RM2.3j 

Sasaran 2,300 pelancong Jepun ke Kelantan 2026

Afiq Hassan (kiri) dan Bill Cheng serta Kamarudin (tengah) pada majlis pemeteraian kontrak pelancongan antara Inspire Travel Malaysia Sdn Bhd dengan Topview Holiday Japan Co. Ltd. di Berlin, Jerman.
- Advertisement -

BERLIN: Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan seramai 2,300 pelancong Jepun akan berkunjung ke negeri itu sepanjang tahun 2026, susulan pemeteraian kontrak pelancongan bernilai RM2.3 juta bersama syarikat berpangkalan di Jepun, Topview Holiday Japan Co. Ltd.

- Advertisement -

Kontrak dua hala itu dimeterai menerusi wakil rasmi Tourism Kelantan di Internationale Tourismus-Börse (ITB) Berlin 2026, yang berlangsung di Berlin, Jerman, sekali gus memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi ekopelancongan pilihan di rantau Asia Tenggara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, perkembangan itu membuka ruang baharu kepada pasaran Jepun dan Eropah untuk meneroka produk pelancongan berasaskan alam semula jadi di negeri ini.

“Polarisasi pelancongan dijangka berubah buat sementara waktu berikutan krisis di Timur Tengah.

“Pelancong dari Eropah, Jepun, Australia dan New Zealand kini lebih cenderung memilih Malaysia sebagai destinasi utama, sekali gus mengelakkan laluan penerbangan yang melibatkan Timur Tengah,” katanya pada majlis pemeteraian antara Inspire Travel Malaysia Sdn Bhd yang diwakili wakilnya, Afiq Hassan dengan Topview Holiday Japan Co. Ltd.

Menurutnya, peluang tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengukuhkan lagi jenama Kelantan sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang tulen dan eksklusif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Topview Holiday Japan Co. Ltd, Bill Cheng menyatakan komitmen penuh untuk membawa kumpulan pelancong Jepun ke Kelantan susulan pembukaan fasiliti baharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang kini bersedia menerima ketibaan antarabangsa.

Beliau berkata, kumpulan pertama pelancong Jepun dijangka tiba pada akhir April 2026.

“Sasaran kami adalah membawa seramai 2,300 pelancong Jepun ke Kelantan sepanjang tahun 2026 dengan jumlah keseluruhan nilai kontrak mencecah RM2.3 juta bagi tahun ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Tourism Kelantan, Mohd Azwan Ab Rahman berkata, promosi turut memberi tumpuan kepada produk ekopelancongan flora dan fauna di kawasan Dabong dan Jeli yang mempunyai potensi besar tetapi masih kurang diterokai.

Beliau menyatakan, antara tarikan utama termasuk keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara, flora dan fauna unik serta Air Terjun Gunung Stong yang semakin mendapat perhatian pelancong luar negara.

“Produk pelancongan ini dijangka menarik minat pelancong yang mencari pengalaman alam semula jadi yang tulen, eksklusif dan kurang komersial,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2026

- Advertisement -