
DUNGUN: Sebahagian isu lama melibatkan nelayan pantai di Terengganu berjaya diselesaikan selepas lebih 1,000 lesen sampan nelayan diluluskan menerusi dua siri pelaksanaan khas sejak 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Azman Ibrahim berkata, sebanyak 436 lesen sampan nelayan diluluskan bagi tahun 2026 selepas permohonan dibuka pada Oktober 2025.
Menurut beliau, kelulusan itu merupakan siri kedua Task Force selepas pelaksanaan pertama pada 2019 yang menyaksikan 680 lesen diluluskan, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 1,000 lesen.
“Jumlah ini merupakan pencapaian tertinggi di negara ini dalam usaha menyelesaikan isu berlarutan yang membelenggu nelayan pantai sejak puluhan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Agihan Lesen Sampan Nelayan 2026 siri ketiga di Seberang Pintasan, Dungun.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi dan ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.
Tambah Azman, daerah Dungun merekodkan penerima tertinggi dengan 90 daripada 436 lesen yang diluluskan diserahkan kepada nelayan di daerah berkenaan.
Beliau berkata, semua penerima lesen diwajibkan mematuhi syarat ditetapkan termasuk membuat laporan hasil tangkapan di pusat pengisytiharan hasil di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta menjalani penilaian prestasi dalam tempoh setahun.
“Nelayan yang memenuhi syarat kelayakan akan dipertimbangkan untuk menerima elaun sara hidup nelayan dan subsidi minyak,” katanya.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, kelulusan tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu lama membabitkan nelayan pantai yang berdepan kekangan mendapatkan lesen sah sebelum ini.
“Jadi, bermakna perjuangan kita untuk menyelesaikan isu lesen sampan nelayan untuk nelayan pantai kita telah berjaya sebahagian besar,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan penerima lesen agar sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan serta memperbaharui lesen setiap tahun bagi memastikan status kekal sah sebagai nelayan berdaftar di bawah peruntukan Akta Perikanan 1985. – HARAKAHDAILY 4/3/2026




















