Hina al-Quran: Sikap MP Paya Besar diselar

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Pahang menyelar pendirian Ahli Parlimen Paya Besar yang dilihat cuba meredakan kemarahan umat Islam susulan insiden seorang individu memijak naskhah suci al-Quran.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang, Dr Zulkifli Mohamad berkata, kenyataan Ahli Parlimen terbabit yang mengatakan tindakan itu sebagai provokasi dan tidak perlu dilayan secara emosi disifatkan sebagai tidak tegas serta gagal mencerminkan sensitiviti terhadap kesucian Islam.

- Advertisement -

Menurutnya, isu penghinaan terhadap al-Quran tidak boleh dilihat sebagai provokasi kecil atau polemik media sosial semata-mata, sebaliknya menyentuh soal maruah dan akidah umat Islam.

“Bagi kami, kenyataan itu adalah satu bentuk pendirian yang lembik dan tidak sensitif. Sebagai wakil rakyat di bumi Pahang yang mendaulatkan Islam, beliau sepatutnya menjadi benteng dan lidah pertama yang mengecam keras dan mendesak tindakan tanpa kompromi, Jangan ajarkan umat Islam erti sabar tidak bertempat apabila agama mereka dipijak!

“Apabila al-Quran dihina, ia bukan lagi soal provokasi tetapi soal pencerobohan terhadap batas paling suci dalam Islam. Menolak bangkitnya umat Islam dengan alasan mengelak provokasi adalah satu bentuk kekalahan mental.

“Umat Islam wajib bangkit mempertahankan syiar agama agar tiada lagi tangan-tangan kotor yang berani menyentuh kesucian wahyu Allah pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen berkenaan seharusnya tampil dengan pendirian yang jelas dan tegas dalam mengecam perbuatan itu serta mendesak tindakan undang-undang tanpa kompromi.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Pahang menggesa Polis Diraja Malaysia mempercepatkan siasatan dan mengambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 298A Kanun Keseksaan sekiranya terdapat asas kukuh.

“Dewan Pemuda PAS Pahang mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak yang bertanggungjawab agar pendakwaan terhadap isu ini diadili sewajarnya.

“Pelaku mesti dikenakan hukuman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan akta-akta berkaitan dengan hukuman paling berat. Kita tidak mahu alasan masalah mental dijadikan asbab setiap kali agama Islam dihina,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya menyeru umat Islam khususnya anak muda di Pahang agar terus menyuarakan bantahan melalui saluran sah dan tidak berdiam diri terhadap sebarang bentuk penghinaan agama.

“Kami menyeru seluruh anak muda Islam di negeri Pahang untuk bersiap siaga dan terus menyatakan bantahan secara lisan, tulisan, mahupun tindakan yang dibenarkan undang-undang. Jangan biarkan suara kita tenggelam oleh pemimpin yang lebih mementingkan keharmonian palsu berbanding maruah agama sendiri.

“ Dewan Pemuda PAS Pahang akan terus konsisten menjadi benteng hadapan dalam isu-isu melibatkan kesucian Islam. Kami tidak akan berdiam diri jika ada mana-mana pihak, termasuk pemimpin politik setempat, yang cuba meremehkan isu yang menyentuh sensitiviti akidah ini.

“Jika sebeginilah sikap seorang Ahli Parlimen, kami kira rakyat Paya Besar wajar menolak beliau dan parti Umno-BNyang beliau wakili pada PRU 16 akan datang. Tiada kompromi apabila ia melibatkan maslahah Umat Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2026

- Advertisement -