Rumah tangga pemimpin juga contoh kepada masyarakat

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Isu keganasan rumah tangga bukan perkara kecil,
sebaliknya ia menyentuh soal keselamatan institusi keluarga, kesejahteraan wanita, anak-anak, termasuk nilai kemanusiaan yang perlu dipertahankan tanpa kompromi.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali berkata, dalam kerangka nilai Islam dan budaya ketimuran, keluarga adalah amanah yang wajib dipelihara dengan kasih sayang, ihsan dan sabar.

“Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya”. Prinsip ini harus menjadi pedoman kepada semua, khususnya mereka yang diberi kedudukan dan kuasa.

“Apa jua tekanan atau cabaran, ia tidak boleh menjadi alasan untuk mengabaikan prinsip rahmah dalam rumah tangga,” kata beliau pada kenyataannya, di sini.

Ujar Bukhori, beliau mengambil maklum pertuduhan yang difailkan terhadap seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung dakwaan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

“Walaupun kita semua faham dan menghormati prinsip seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Namun dalam masa yang sama, tidak boleh menafikan bahawa seorang pemimpin memikul tanggungjawab moral yang lebih besar kerana beliau menjadi contoh kepada masyarakat,” tambah beliau.

Tegasnya, masyarakat memandang tinggi kedudukan seorang pemimpin, justeru ‘standard’ akhlak dan integritinya juga mestilah lebih tinggi, kerana kepimpinan juga bukan sekadar pentadbiran dasar, tetapi cerminan akhlak dan teladan.

“Kita mendoakan agar kebenaran ditegakkan, keadilan dilaksanakan, dan institusi keluarga sentiasa dipelihara. Dalam masa yang sama, kita menyerahkan sepenuhnya kepada proses mahkamah untuk menentukan kebenaran berdasarkan fakta dan bukti,” ulasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau  mengharapkan semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan adil dan telus, serta pada masa yang sama memperkukuh usaha pendidikan dan kesedaran mengenai keharmonian keluarga.

Terdahulu, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa  Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencederakan isterinya.

Walau bagaimanapun, ADUN Pantai Jerejak itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Chia Huey Ting.

Berdasarkan pertuduhan, Fahmi didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35. – HARAKAHDAILY 4/3/2026

- Advertisement -