
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah menyampaikan ucapan takziah atas syahidnya Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan pihak Zionis-Israel pada Sabtu lalu.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyampaikan rasa simpati yang mendalam semasa kunjungan hormat ke Kedutaan Republik Islam Iran, di sini hari ini.
Beliau memimpin delegasi PAS dalam kunjungan turut disertai bersama Setiausaha Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Muhd Khidhir Izaidin yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Semasa pertemuan itu, delegasi menyampaikan ucapan takziah rasmi kepada wakil Kedutaan Iran, serta menzahirkan solidariti dan hormat terhadap keluarga Ayatollah Ali dan rakyat Iran yang dalam tempoh berkabung.
Kata Dr Muhammad Khalil, PAS menzahirkan rasa simpati yang ikhlas kepada semua pihak terkesan oleh peristiwa tragik ini, termasuk kerabat, ahli keluarga dan komuniti rakyat Iran yang berduka.
“Kami menyeru agar keamanan, kestabilan, dan dialog antara negara-negara umat Islam terus dipelihara pada masa yang mencabar ini. PAS berdiri teguh bersama rakyat Republik Islam Iran dalam saat penuh dukacita ini.
“Kami mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas almarhum, mengangkat darjatnya dalam kalangan para solihin, serta mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada seluruh rakyat Iran,” ujarnya.
Doanya, semoga ujian ini menjadi titik pengukuhan perpaduan ummah serta memperteguh komitmen bersama terhadap keadilan, maruah, kedaulatan dan keamanan sejagat.
“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali,” ujar beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu. – HARAKAHDAILY 3/3/2026











