
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, mengingatkan supaya tiada pihak mengeluarkan kenyataan berunsur angkuh susulan kegagalan meluluskan Rang Undang-undang Had Tempoh Jawatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, ungkapan seperti ‘kalau nak sampai mati sampai kiamat pun boleh’ adalah bahasa angkuh dan keangkuhan boleh membawa kepada kekalahan kerana segala penentuan adalah di tangan Allah SWT.
“Janganlah cakap kata ‘wah ini engkau kalau nak sampai mati sampai kiamat pun boleh’. Ini bahasa angkuh. Kadang-kadang keangkuhan itu menyebabkan kita kalah sebab Allah SWT yang menentukan,” tegurnya dalam sidang media di Parlimen, di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan kedudukan pembangkang berhubung Rang Undang-undang (RUU) yang gagal diluluskan itu dan menafikan pihaknya menolak usul berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, berdasarkan ucapan Ahli Parlimen pembangkang, semuanya menyatakan persetujuan dengan syarat tertentu.
“Kalau syarat itu tidak diambil kira, maka bermakna bukan kita tolak, kita ‘abstain’. Semua kita ini tidak mengundi. Ada yang keluar daripada dewan, ada yang tidak mengundi.
“Jadi nak salahkan kenapa? Sebab daripada awal lagi kita dah maklumkan perkara ini,” bidasnya yang juga Ahli Parlimen Larut.
Beliau menegaskan pembangkang mengambil pendirian berkecuali dan berkecuali bukan bermaksud menolak.
“Bukan nak menyalahkan pembangkang yang ‘abstain’. Kalau dalam bahasa dia berkecuali, kami ini berkecuali. Jadi berkecuali bukan menolak.
“Kami kata sebab tak dengar kami nak tambah beberapa perkara dalam rang undang-undang tersebut. Maka itu yang kita ambil kira,” hujahnya.
Hamzah turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu, termasuk dalam kalangan Jemaah Menteri, yang menyalahkan pembangkang atas kegagalan usul berkenaan.
“Saya yang hairan ini ada daripada ahli-ahli Jemaah Menteri yang keluarkan kenyataan pembangkang yang tidak mengundi. Apa kena mengena dengan pembangkang?
“Engkau dah ada jumlah yang besar, 154. Penyokong 100 peratus kerajaan adalah 154 (ahli Dewan),” tempelaknya.
Menurutnya, yang sepatutnya dipersoalkan adalah Ahli Parlimen kerajaan yang tidak mengundi kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab mempertahankan usul dibawa.
“Yang jadi masalahnya adalah Ahli Parlimen kerajaan yang tidak mengundi. Yang itu yang patut disalahkan kerana kerajaan mempunyai duti untuk mempertahankan usul mereka,” katanya.
Beliau turut menyarankan kerajaan memastikan kehadiran semua Ahli Parlimen mereka sekiranya mahu meluluskan sesuatu Rang Undang-undang yang memerlukan sokongan dua pertiga.
“Saya nak mengajar sikit kerajaan kalau nak buat undang-undang yang nak memastikan bahawa mesti ada dua pertiga daripada jumlah yang datang mengundi, kena panggil seorang-seorang ahli kerajaan.
“Tanya, ‘Eh kau ada? Engkau ada? Kau sakit ke? Engkau dalam hospital ke? Engkau macam mana? Dalam jam, trafic jammed’, semua itu kena tanya,” ajarnya.
Menurutnya, sekiranya terdapat kekangan seperti kesesakan lalu lintas, makluman awal perlu dibuat bagi membolehkan tindakan diambil.
“Kalau dah boleh buat macam itu, katalah dia trafic jammed, kita tahu dia dalam trafic jammed, kita hantar nota itu pada Menteri, kata panjangkan sikit sebab ada dua tiga orang tak sempat datang.
“Saya bukan nak sekolahkan, tetapi saja nak mengajar supaya perkara ini nanti tak timbul lagi. Mudah saja,” katanya.
Beliau menegaskan, pembangkang bersedia menyokong perkara yang baik dan bersama kerajaan sekiranya ia mampu membawa kebaikan kepada negara.
“Pembangkang adalah satu-satunya kumpulan yang bersedia menyokong kalau perkara itu baik, bersedia bersama kalau boleh menentukan sesuatu yang lebih baik untuk negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2026











