Terengganu tuan rumah Ijtima’ Antarabangsa Ummah kali ke-5

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan menganjurkan Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 pada 2 hingga 4 April 2026 di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Penerangan dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penganjuran program berskala besar itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memposisikan Terengganu sebagai hab wacana pemikiran Islam dan penyatuan ummah di peringkat nusantara serta global.

“Ijtima’ ini dijangka menghimpunkan para ulama, cendekiawan, tokoh pimpinan masyarakat, serta delegasi antarabangsa dari pelbagai negara untuk berkongsi gagasan demi kesejahteraan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara pengisian utama yang dirancang termasuk syarahan perdana, forum antarabangsa, dialog kepimpinan serta Sidang Meja Bulat (RTD).

“Perbincangan akan memfokuskan kepada isu-isu strategik seperti penyatuan ummah, cabaran geopolitik dunia Islam, peranan generasi muda dalam dakwah kontemporari serta pengukuhan kerjasama antara negara-negara Alam Melayu,” katanya.

Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, kerajaan negeri mengajak rakyat Malaysia, khususnya warga Terengganu, untuk hadir memeriahkan program.

“Mari kita buktikan bahawa Terengganu kekal menjadi titik pertemuan yang harmoni bagi agenda perpaduan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2026

- Advertisement -