PELITER@KSNT 2026 raih lebih 110,000 pengunjung

Razali (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang PELITER @ KSNT 2026 di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu.
- Advertisement -

KUALA NERUS: Program PELITER @ KSNT 2026 yang berlangsung selama lima hari berjaya mencatat kehadiran lebih 110,000 pengunjung, sekali gus memperlihatkan sambutan menggalakkan terhadap acara pelancongan berteraskan warisan budaya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kehadiran berkenaan bukan sahaja memeriahkan suasana, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS), usahawan belia serta komuniti setempat yang bergantung kepada sektor pelancongan sebagai sumber pendapatan.

- Advertisement -

“Berkenaan hasil jualan, pihak penganjur tidak mengambil keuntungan daripada jualan para peniaga kerana kami hanya bertindak sebagai penganjur.

“Namun begitu, berdasarkan pemerhatian, peniaga berpuas hati dengan pulangan yang diperoleh. Jumlah keseluruhan hasil jualan masih dalam proses pengiraan dan dijangka diketahui dalam tempoh satu hingga dua hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato’ Hanafiah Mat.

Tambah Razali, program itu juga selaras dengan usaha menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan aspirasi kerajaan negeri untuk terus memposisikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan unik, mesra keluarga dan patuh syariah berteraskan prinsip ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ di samping memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai antara destinasi pelancongan Islamik utama di Malaysia.

“Ia juga menjadi pembuka tirai kepada 13 acara utama dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2026.

“Insya-Allah, keseluruhan program yang dirancang akan menyumbang kepada sasaran sembilan juta kehadiran pelancong dan pengunjung ke Negeri Terengganu bagi tahun 2026,” katanya.

Beliau berkata, Tahun 2026 merupakan tahun promosi dan pemerkasaan jenama pelancongan negeri sebagai persediaan menuju Tahun Melawat Terengganu 2027.

“Segala inisiatif yang dilaksanakan pada tahun ini akan menjadi pemangkin kepada kemuncak sambutan pelancongan negeri pada tahun hadapan.

“Fokus kerajaan negeri bukan sekadar menarik kehadiran pelawat, tetapi juga memastikan pengalaman yang ditawarkan memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi rakyat, kelestarian alam sekitar serta pemerkasaan komuniti tempatan, selaras dengan slogan baharu pelancongan negeri iaitu TRUE Terengganu – The Real Unique Experience,” katanya.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, PELITER @ KSNT bukan sekadar pertandingan menghias pelita, sebaliknya platform memperkukuh identiti budaya, menyemarakkan semangat gotong-royong serta memperkenalkan produk pelancongan negeri yang diterjemahkan secara kreatif oleh peserta.

Program bertemakan Pelita Warisan, Suluh Perpaduan itu menghimpunkan penyertaan lapan pejabat daerah, sembilan jabatan, agensi, SUK Negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pelbagai rakan strategik termasuk agensi persekutuan seperti Tourism Malaysia Wilayah Timur, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi URBANICE Malaysia.

Rakan strategik lain termasuk Dewan Perniagaan Cina (Terengganu), CelcomDigi, Unifi dan CetakNow. – HARAKAHDAILY 4/3/2026

- Advertisement -