Presiden Perancis bantah serangan AS-Israel ke atas Iran

Emmanuel Macron
- Advertisement -

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyatakan bantahan tegas terhadap serangan ketenteraan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang berada di luar kerangka undang-undang antarabangsa.

- Advertisement -

Dalam ucapan khas kepada rakyat Perancis pada Selasa (waktu tempatan), Macron menegaskan bahawa operasi ketenteraan tersebut tidak mendapat persetujuan Paris dan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan lebih besar di rantau Timur Tengah.

“Kami tidak dapat bersetuju dengan tindakan yang dilaksanakan di luar kerangka undang-undang antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliai enggesa agar semua serangan udara dihentikan serta-merta dan rundingan diplomatik disambung semula demi mencapai keamanan jangka panjang.

Seiring peningkatan ketegangan serantau, Macron memaklumkan bahawa Perancis telah memperkukuhkan tahap keselamatan dalam dan luar negara, termasuk meningkatkan kawalan di pangkalan tentera serta kedutaan Perancis di Timur Tengah.

Beliau turut mengarahkan pengukuhan sistem perlindungan ketenteraan Sentinel di tanah air serta meningkatkan kewaspadaan di lokasi strategik dan kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya, jet pejuang Rafale yang sedia ditempatkan di rantau berkenaan kini disokong oleh sistem pertahanan udara dan unit radar tambahan. Paris juga mengesahkan penghantaran aset pertahanan udara tambahan ke Cyprus (Pentadbiran Cyprus Yunani).

Macron mendakwa bahawa Perancis bertindak balas segera dalam ‘pertahanan diri yang sah’ dengan menembak jatuh beberapa dron pada peringkat awal konflik bagi mempertahankan ruang udara sekutu.

Beliau juga mengingatkan bahawa negaranya mempunyai perjanjian pertahanan dengan Qatar, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain komitmen keselamatan kukuh bersama Jordan dan Iraq.

“Perancis akan terus berdiri bersama sekutunya bagi memastikan keselamatan dan integriti wilayah mereka terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Macron turut memberi amaran bahawa konflik kini merebak ke Lubnan susulan tindakan Hizbullah melancarkan serangan terhadap Israel.

Beliau menyifatkan kemungkinan operasi darat Israel di Lubnan sebagai satu peningkatan berbahaya dan kesilapan strategik, serta menyeru supaya kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan dihormati.

Dalam perkembangan berkaitan, Perancis mengumumkan bahawa kapal pengangkut pesawatnya, Charles de Gaulle, akan digerakkan ke Mediterranean bersama aset udara dan kapal pengiring bagi menjamin keselamatan laluan maritim di rantau yang semakin tegang.

Ketegangan di Timur Tengah memuncak selepas serangan besar-besaran AS dan Israel ke atas Iran pada Sabtu lalu yang dilaporkan mengorbankan hampir 800 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei.

Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Situasi terkini menunjukkan rantau Timur Tengah berada di ambang konflik lebih luas, dengan komuniti antarabangsa kini berdepan cabaran mendesak untuk mengelakkan perang serantau yang lebih besar. – HARAKAHDAILY 4/3/2026

- Advertisement -