
KUALA KEDAH: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sejak 15 Februari lalu dan sehingga kini masih belum dibenarkan bertemu ibu bapanya.
Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Mardhiyyah Johari selepas didatangi seorang bapa dari Kedah yang mengadu mengenai penahanan anaknya.
Menurut beliau, remaja terbabit yang ditahan di Alor Setar telah berada dalam tahanan selama 12 hari tanpa sebarang pertemuan dengan keluarga.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap tindakan menahan individu bawah umur di bawah akta keselamatan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai tidak wajar dan bercanggah dengan semangat perlindungan kanak-kanak.
“Saya membantah keras penggunaan SOSMA terhadap kanak-kanak. Polis mempunyai pilihan untuk menyiasat di bawah Kanun Keseksaan dan dalam masa yang sama melindungi hak anak ini berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam rakaman yang disiarkan di laman sosialnya, hari ini.
Menurutnya, bagi kes jenayah biasa, tempoh reman maksimum adalah 14 hari, manakala di bawah SOSMA, tempoh tahanan boleh dilanjutkan sehingga 28 hari; satu tempoh yang disifatkan terlalu lama bagi remaja bawah umur.
Terdahulu, negara turut dikejutkan dengan penahanan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Jitra di bawah akta sama sebelum dibebaskan selepas menerima desakan pelbagai pihak.
Mengulas lanjut, Mardhiyyah menegaskan beliau tidak berniat untuk mempolitikkan isu tersebut, sebaliknya mahu memastikan keadilan ditegakkan dan hak kanak-kanak dipelihara.
“Anak ini kehidupan hariannya hanyalah rumah dan sekolah. Tangkapan secara tiba-tiba ini sangat mengejutkan beliau yang baru berusia 17 tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Dalam Negeri Malaysia serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Malaysia supaya menyemak segera kes berkenaan.
“Saya bukan mahu berpolitik dalam isu ini. Dua belas hari sudah mencukupi untuk siasatan dijalankan. Bebaskan segera supaya beliau dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga,” katanya.
Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penahanan tersebut. HARAKAHDAILY – 4/3/2026











