Kelantan tambah dana kandang kambing lestari

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Kerajaan Negeri Kelantan menambah peruntukan sebanyak RM210,000 kepada tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih bagi pembinaan kandang kambing yang lebih lestari dan sistematik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata setiap DUN menerima peruntukan RM30,000 bagi memastikan pembinaan kandang mematuhi spesifikasi yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.

- Advertisement -

Menurut beliau, inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai sokongan kepada penubuhan Goat Milk Collection Centre (GMCC) yang bakal berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan susu kambing di negeri ini.

“Usaha ini dibuat bagi menyambut baik penubuhan GMCC hasil kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Kerajaan Negeri Kelantan.

“Pembinaan kandang yang tersusun serta mengikut piawaian amat penting bagi memastikan bekalan susu kambing yang dihantar ke pusat pengumpulan menepati standard kualiti yang ditetapkan,” katanya ketika merasmikan Majlis Gimik Penyerahan Bantuan Kambing Tenusu 2026 di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, di sini.

Tambahnya, projek pembinaan kandang tersebut turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan sebagai agensi teknikal dalam aspek kesihatan haiwan dan pematuhan piawaian.

“Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan menyediakan sokongan perancangan ekonomi, manakala Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd menggerakkan pembangunan rantaian bekalan termasuk penyediaan sumber makanan ternakan serta sokongan teknologi,” ujarnya.

Beliau berkata, kewujudan GMCC memberi kelebihan besar kepada industri kambing tenusu Kelantan kerana ia menyusun semula rantaian nilai daripada peringkat ladang ke pasaran secara lebih sistematik dan berpiawaian.

“Susu kambing yang dikumpulkan akan melalui proses kawalan kualiti yang lebih ketat,” katanya.

“Ia sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka peluang pasaran lebih luas termasuk penghasilan produk hiliran seperti yogurt dan keju,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan dua buah GMCC masing-masing di Pasir Puteh dan Ketereh yang dibangunkan melalui kerjasama dengan East Coast Economic Region Development Council melibatkan kos lebih RM3 juta.

Katanya, pusat berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada April ini dan memerlukan bekalan maksimum 1,000 liter sehari serta sekurang-kurangnya 300 liter sehari untuk beroperasi.

Sehubungsn itu, beliau berharap projek tersebut mampu memperkukuh industri kambing tenusu negeri sekali gus meningkatkan pendapatan para penternak tempatan.

Tambahnya, semua penerima perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang dan bantuan yang diberikan dengan penuh amanah kerana ia bukan sekadar sokongan sementara, tetapi satu tanggungjawab yang menuntut disiplin serta komitmen tinggi.

“Kejayaan peserta akan menjadi penanda aras kepada keberkesanan program kerajaan dari semasa ke semasa serta memenuhi harapan kerajaan negeri dan Persekutuan agar projek itu memberi impak besar kepada pembangunan industri penternakan negara,” katanya.-HARAKAHDAILY 4/3/2026

- Advertisement -