RM1 juta perkasa projek kambing tenusu Kelantan

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) menerima peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) bagi melaksanakan Projek Ternakan Kambing Tenusu menerusi Program Kerjasama Kerajaan Negeri dan KPKM.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata, dana tersebut disalurkan bagi memperkukuh penyertaan penternak kecil melalui pembangunan ternakan kambing tenusu yang lebih terancang, mampan dan berdaya saing.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada produk import.

“Daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM500,000 digunakan bagi perolehan 89 ekor kambing tenusu import dari Australia melibatkan 74 induk dan 15 pejantan.

“Kambing ini akan diagihkan kepada 16 penternak terpilih. Penternak sedia ada menerima antara lima hingga lapan ekor, manakala penternak baharu menerima dua hingga tiga ekor,” katanya ketika merasmikan Majlis Gimik Penyerahan Bantuan Kambing Tenusu 2026 di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, di sini.

Tambahnya, projek itu mampu memperkukuh tahap sekuriti makanan negeri dan negara khususnya dalam sektor pengeluaran susu kambing segar tempatan.

Sambungnya lagi, usaha itu bukan sahaja mengurangkan kebergantungan import malah membuka ruang kepada pengukuhan ekonomi luar bandar.

Tuan Saripudin turut mengingatkan para penerima supaya mengurus bantuan tersebut dengan penuh tanggungjawab kerana ia merupakan satu amanah.

Sementara itu, Pengarah JPVNK, Dr Yahasmida Yaacob, berkata, program berkenaan bukan sekadar penyerahan ternakan, sebaliknya sebahagian daripada pelan berterusan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran susu kambing tempatan.

Menurutnya, inisiatif tersebut turut menyumbang kepada jaminan bekalan susu segar berkualiti dan selamat kepada pengguna.

“Bantuan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin termasuk dari aspek pemakanan, penjagaan kesihatan ternakan serta pengurusan rekod pengeluaran.

“Kejayaan projek amat bergantung kepada komitmen dan kesungguhan penternak dalam mengusahakan ternakan secara sistematik dan berdaya maju,” katanya.

Tambahnya, pihak JPVNK akan terus menyediakan khidmat nasihat teknikal serta pemantauan berkala bagi memastikan projek mencapai objektif yang ditetapkan.

Seramai 16 penternak dari enam jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Tumpat dan Bachok menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.-HARAKAHDAILY 4/3/2026

- Advertisement -