‘Segerakan gencatan senjata perang AS-Israel Iran’

- Advertisement -

PARIT: Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib, menyeru supaya gencatan senjata segera dilaksanakan bagi menghentikan siri serangan ketenteraan yang dilancarkan oleh rejim Israel dengan sokongan Amerika Syarikat ke atas Iran.

- Advertisement -

Beliau menegaskan, tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa tetapi juga berpotensi menjerumuskan rantau Timur Tengah ke dalam kancah peperangan lebih luas dan dahsyat. “Dunia tidak boleh lagi berdiam diri melihat keangkuhan kuasa besar yang membedil negara lain demi kepentingan geopolitik sempit mereka,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Ustaz Muhammad Ismi menyeru rakyat Malaysia menilai konflik ini melalui lensa persaudaraan Islam dan kemanusiaan sejagat, termasuk menepikan perbezaan mazhab.

“Walaupun terdapat perbezaan pandangan akidah atau mazhab, nyawa umat Islam adalah suci dan wajib dipertahankan. Musuh yang sama: agenda imperialisme tidak membezakan antara mazhab; matlamat mereka adalah melemahkan kekuatan umat Islam secara keseluruhan,” jelasnya.

Beliau juga menyeru pihak antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bertindak tegas menghentikan sebarang usaha perluasan perang oleh Israel dan sekutunya.

“Para imam dan ahli kariah di seluruh negara digalakkan memperbanyakkan doa selamat dan solat hajat untuk keselamatan umat Islam di Timur Tengah.

“Di samping itu, umat Islam Malaysia digesa menunjukkan solidariti dengan pihak yang ditindas tanpa mengira sempadan geografi atau ideologi, demi mempertahankan maruah dan keselamatan umat Islam sejagat,” jelasnya.

Ustaz Muhammad Ismi mengingatkan bahawa konflik bersenjata sebelum ini telah mengorbankan ramai nyawa tidak berdosa.

“Cukuplah darah yang mengalir di bumi Gaza. Jangan biarkan ketamakan kuasa menghancurkan lagi nyawa yang tidak berdosa. Semoga Allah SWT melindungi umat Islam dan mengembalikan keamanan di bumi para anbiya’,” ujarnya.

Siri serangan Israel terhadap Iran dengan sokongan Amerika Syarikat menimbulkan kebimbangan antarabangsa kerana ia boleh mencetuskan ketegangan lebih besar di rantau Timur Tengah. Pakar geopolitik menyatakan konflik ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan serantau, malah memberi impak terhadap pasaran tenaga global dan keselamatan dunia.

Seruan Ustaz Muhammad Ismi menekankan pentingnya tindakan segera daripada komuniti antarabangsa untuk mencegah krisis kemanusiaan yang lebih besar, sambil menyeru rakyat Malaysia bersatu padu dalam doa dan kesedaran kemanusiaan. HARAKAHDAILY – 4/3/2026

- Advertisement -