
TEHRAN: Iran kini sedang membuat persiapan bagi menghadapi peperangan yang dilabelkannya sebagai ‘penentu terhadap eksistensi Israel’.
Jeneral Yahya Rahim Safavi, penasihat tertinggi kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Almarhum Ayatollah Ali Khamenei dalam satu kenyataan yang tular berkata, Iran kini berdepan tekanan geopolitik yang semakin memuncak, termasuk kewujudan beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat mengelilingi negara itu.
Menurut Safavi, situasi berkenaan menjadikan sebarang bentuk rundingan damai sebagai tidak relevan dalam konteks semasa.
Beliau juga menegaskan bahawa Iran menolak mentah-mentah perundingan damai Davos, Switzerland.
“Ini tentang maruah agama kami,” katanya, sambil menambah bahawa Iran sebagai sebuah negara Republik melihat isu berkenaan bukan sekadar konflik politik, sebaliknya melibatkan prinsip dan pegangan agama.
Safavi juga menyifatkan strategi ketenteraan Iran ketika ini sebagai mengingatkan kepada kisah kepimpinan Saidina Ali bin Abi Thalib dalam sejarah Islam.
Malah, beliau merujuk kepada naratif keagamaan yang menurutnya menyentuh tentang peranan bangsa Parsi dalam mempertahankan Islam ketika bangsa Arab terleka dengan urusan duniawi.
Kenyataan tersebut dijangka menambah ketegangan di rantau Asia Barat yang sedia bergolak, ketika hubungan antara Tehran dan sekutunya di Barat terus berada pada tahap terendah, khususnya serangan AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari 2026 yang menyebabkan Pemimpin Agung Irab, Ayatolllah Ali Khamenei dan ahli keluarganya terkorban.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Israel mahupun AS berhubung kenyataan terbaharu yang dibangkitkan oleh penasihat kanan kepimpinan Iran itu. – HARAKAHDAILY 4/3/2026











