
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan terbaharu berkaitan tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri membawa maksud bahawa jawatan itu tidak mempunyai kekebalan untuk disaman.
Beliau berkata demikian susulan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim diperintah membayar kos RM50,000 kepada bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.
Perintah itu dibuat selepas Anwar dilaporkan menarik balik rayuan berhubung lapan persoalan undang-undang mengenai isu kekebalan dalam saman sivil terhadapnya.
“Ini bermaksud pihak Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim secara tidak langsung menerima hakikat bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai kekebalan untuk disaman.
“Inilah yang sepatutnya disedari oleh pasukan peguamnya daripada awal lagi,” katanya dalam media sosial miliknya.
Terbaharu, media tempatan melaporkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Wong Kian Kheong mengarahkan bayaran tersebut dibuat dalam tempoh sebulan.
Sementara perbicaraan kes diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan pengurusan kes ditetapkan pada 8 April.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan kerana disifatkan spekulatif dan tidak melepasi ambang rujukan. – HARAKAHDAILY 4/3/2026











