Gempa bumi kuat 6.8 magnitud gegar perairan Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 telah menggegarkan perairan Kota Kinabalu, Sabah pada jam 12:57 pagi tadi, mencetuskan rasa cemas dalam kalangan penduduk di beberapa kawasan di Malaysia.

- Advertisement -

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa tersebut berlaku pada koordinat 7.0° Utara dan 116.4° Timur dengan kedalaman 678 kilometer. 

“Pusat gempa terletak kira-kira 49 kilometer barat dari Kudat, Sabah,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan berkenaan, berdasarkan penilaian awal, gegaran dirasai di seluruh Sabah selain beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Setakat maklumat yang dikeluarkan, tiada laporan mengenai ancaman tsunami terhadap Malaysia.

MetMalaysia dalam kenyataannya itu juga memaklumkan bahawa situasi akan terus dipantau secara berterusan bagi memastikan sebarang perkembangan baharu dapat dimaklumkan kepada orang awam dengan segera.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mengalami senario gegaran akibat gempa bumi berkenaan diminta untuk mengisi borang kaji selidik yang disediakan, https://forms.gle/brkjbuqlepaf8kvw9 bagi membantu pengumpulan data intensiti gegaran,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan tersebut, orang ramai juga dinasihatkan agar mendapatkan maklumat sahih hanya daripada saluran rasmi pihak berkuasa dan tidak menyebarkan maklumat tidak pasti yang boleh menimbulkan kekeliruan, dan maklumat lanjut mengenai kejadian gempa bumi boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi mygempa.met.gov.my serta saluran media sosia metmalaysia. – HARAKAHDAILY 23/2/2026

- Advertisement -