Jambatan Sg Durian: Khabar baik menjelang Aidilfitri

- Advertisement -

KUALA KRAI: Projek pembinaan Jambatan Sungai Deri di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkebang dijangka dapat disiapkan secara berperingkat, dengan fasa pertama sebelum Aidilfitri ini.

- Advertisement -

Sebelum ini jambatan berkenaan mengalami kelewatan berbanding jadual asal pembinaannya sejak diluluskan pada 2021 berikutan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, projek tersebut berdepan kelewatan hampir dua tahun yang menyaksikan banyak kerja tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual asal.

“Selepas tempoh pandemik, projek ini turut berhadapan beberapa masalah teknikal termasuk isu utiliti dan pengambilan tanah, menyebabkan tempoh siap terpaksa dilanjutkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Nik Badlihisham Nik Ismail; ADUN Mengkebang, Zubir Abu Bakar; dan Ketua Jajahan Kuala Krai, Mohd Shaifudeen Md Salleh.

Menurut Izani, pihak kontraktor telah memberi jaminan jambatan di sebelah sini (Kampung Nal) akan dapat disiapkan terlebih dahulu dalam tempoh dua bulan sebelum beralih ke tapak sebelah yang satu lagi.

“Kita berharap pihak kontraktor dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya dan memastikan kedua-dua jambatan ini dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Tambah beliau, projek tersebut dipantau oleh Jurutera Jajahan Kuala Krai dan pemantauan rapi akan terus dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan memandangkan projek itu merupakan projek Persekutuan yang bertujuan memberi kemudahan kepada rakyat.

“Sekiranya jambatan sebelah sini dapat disiapkan sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti, insya-Allah ia akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di pintu masuk ke Kuala Krai,” katanya.

Beliau juga berharap projek pembinaan Jambatan Sungai Deri dapat disiapkan sepenuhnya mengikut tempoh yang telah ditetapkan demi manfaat penduduk setempat dan pengguna jalan raya.-HARAKAHDAILY 19/1/2026

- Advertisement -