
MADRID: Dua kereta api berkelajuan tinggi bertembung di selatan Sepanyol pada malam Ahad, mengorbankan sekurang-kurangnya 21 nyawa manakala puluhan lagi cedera.
Pengendali rel kebangsaan, Adif, dalam kenyataannya berkata kereta api berkelajuan tinggi yang dalam perjalanan dari Malaga ke Madrid sebelum tergelincir berhampiran Córdoba, dan melantun ke landasan arah bertentangan dan merempuh sebuah lagi kereta api yang sedang bergerak dari Madrid ke Huelva, juga di selatan negara itu.
Kedua-dua kereta api berkenaan dilaporkan membawa kira-kira 500 penumpang.
Menteri Kesihatan Wilayah Andalusia, Antonio Sanz, berkata lebih 20 kematian telah disahkan setakat ini, mencecah 21 nyawa dan angka korban dijangka meningkat, manakala operasi menyelamat masih dijalankan secara intensif.
“Situasi di lokasi sangat serius. Kita berdepan dengan malam yang sangat sukar,”katanya.
Beliau juga memaklumkan seramai 73 penumpang cedera telah dikejarkan ke enam hospital berbeza, manakala sekurang-kurangnya satu gerabak dilaporkan tergolek ke bawah cerun sedalam empat meter.
Dalam pada itu Ketua bomba Córdoba, Francisco Carmona, berkata kepada radio nasional Sepanyol, RNE, bahawa salah sebuah kereta api remuk teruk dengan sekurang-kurangnya empat gerabak terkeluar dari landasan.
Sementara itu, Ketua Perlindungan Awam wilayah, María Belén Moya Rojas, pula memberitahu Canal Sur bahawa lokasi kejadian sukar diakses, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.
Penduduk tempatan dilaporkan tampil membantu dengan membawa selimut dan bekalan air ke lokasi nahas bagi meringankan penderitaan mangsa.
Pasukan bantuan kecemasan tentera Sepanyol turut digerakkan bersama pasukan penyelamat lain, manakala Palang Merah memberikan sokongan kepada petugas kesihatan.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, dalam satu hantaran di platform X pula berkata beliau mengikuti rapat ‘berita yang amat menyayat hati’ dari Córdoba.
“Malam ini kamu semua dalam doa dan ingatan saya,” tulisnya dalam bahasa Sepanyol.
Sementara itu, Adif mengumumkan perkhidmatan kereta api antara Madrid dan bandar-bandar di wilayah Andalusia akan digantung pada Isnin.
Kereta api berkelajuan tinggi merupakan antara pengangkutan paling popular di Sepanyol, yang memiliki rangkaian rel nasional yang luas.











