
TANGGA BATU: Masyarakat Chetti Melaka meluahkan kebimbangan terhadap masa depan warisan mereka apabila Kampung Chetti di Jalan Gajah Berang dikatakan bakal ‘terpisah dua’ akibat perancangan pembinaan jalan raya di kawasan tersebut.
Perkara itu disuarakan wakil masyarakat Chetti, Jeevan T Sithambaram Pillay, 40, kepada Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dalam satu pertemuan santai, di sini pada Sabtu.
Jeevan berkata, pihaknya memohon jasa baik Bakri agar membawa isu tersebut ke pengetahuan pihak berwajib supaya perancangan itu dikaji semula, selain mendesak agar kampung tersebut diwartakan sebagai tapak warisan.
“Memang wujud dalam pelan Majlis Bandaraya ada jalan selebar 100 kaki yang dikatakan akan menembusi Kampung Chetti.
“Jika ia dibina, kampung warisan kami akan terbelah dua. Jadi saya mohon jika YB (Yang Berhormat) Bakri dapat bawa perkara ini kepada pihak kerajaan agar projek ini tidak diteruskan demi menyelamatkan kesan sejarah kaum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program pertemuan santai masyarakat Chetti dan Baba-Nyonya bersama Ahli Parlimen tersebut di kediaman Bakri di Sungai Udang.
Menurut Jeevan, sejarah mencatatkan kedatangan kaum Chetti ke Melaka bermula sejak tahun 1414 ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, di mana komuniti ini mengamalkan cara hidup mirip Melayu namun kekal menganut agama Hindu.
Beliau turut memuji sikap keterbukaan Bakri dalam menyantuni golongan minoriti.
“Saya nampak YB Bakri berfikiran terbuka dan boleh menerima pandangan kami kaum minoriti. Kolaborasi sebegini amat penting untuk memupuk perpaduan sebenar,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti Baba-Nyonya, Dato’ Baba Ronald Gan Yong Hoe menyifatkan penganjuran program muhibbah tersebut sebagai satu permulaan yang sangat baik bagi mengekalkan keharmonian di Melaka.
Menurutnya, usaha Bakri untuk mengangkat martabat kedua-dua komuniti ini sebagai ikon perpaduan menepati hasrat mereka yang sekian lama menjadi ‘jambatan’ antara kaum Melayu dan Cina.
“Dalam Malaysia ini kita selalu dengar macam-macam, tetapi bila dah sampai (berjumpa), meriahnya lain macam.
“Kalau boleh, kami memohon agar ada wakil Baba-Nyonya dilantik menganggotai Majlis Perpaduan Negara atau diangkat menjadi Senator untuk membawa suara komuniti kami ke Dewan Negara.
“Kalau YB boleh usahakan perkara itu, kami ucap ‘kamsia’ (terima kasih banyak-banyak),” katanya.
Ronald turut menyarankan agar jentera PAS Kawasan Tangga Batu mempergiatkan pertemuan dengan masyarakat Baba-Nyonya di dalam parlimen tersebut bagi mengeratkan silaturahim.
Dalam pertemuan tersebut, seramai 12 wakil komuniti Baba-Nyonya dan tiga wakil masyarakat Chetti diraikan oleh Bakri dan isteri, Kamariah Abdul Rahim.
Turut hadir Naib Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Dr Shawn Loh Sheng Nian; Ketua Penerangan DHPP Melaka, Dr Tony Khoo; dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum PAS Melaka, Syahmi Sharee. – HARAKAHDAILY 19/1/2026











