Berita baik atasi kesesakan lalu lintas di Gua Musang

Roadcare ambil alih selenggara jalan Pakej 3BC

Dr Izani (kiri) ketika meninjau keadaan jalan melibatkan Pakej 3BC dan Pakej 3D di sekitar Gua Musang.
- Advertisement -

GUA MUSANG: Penyelenggaraan jalan melibatkan Pakej 3BC di daerah ini akan diambil alih oleh konsesi jalan Persekutuan, Roadcare dalam usaha yang dibuat sebagai langkah segera menangani masalah kerosakan jalan dan kesesakan lalu lintas di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, pihaknya telah menerima baik daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkara tersebut.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, hari ini kita menerima berita baik daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) apabila jalan ini akan diserahkan kepada Roadcare untuk tujuan penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan jalan melibatkan Pakej 3BC dan Pakej 3D di sekitar Gua Musang pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail dan Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail.

Menurut Dr Izani, kontrak penyelenggaraan bagi Pakej 3BC telah tamat pada Oktober lalu, dan kerja-kerja penyelenggaraan tidak dapat dilaksanakan secara teratur kerana ketiadaan kontraktor.

“Kontrak lama telah ditamatkan, manakala tender baharu akan dibuka Jun 2026. Jadi kita minta pengguna jalan raya kena sabarlah ketika menghadapi situasi ini, “ jelasnya.

Kontrak penyelenggaraan bagi jalan raya Pakej 3BC di Gua Musang, Kelantan telah tamat pada Oktober lalu.

Dr Izani juga menyatakan, Roadcare akan mengambil alih kerja-kerja penyelenggaraan dengan peruntukan bajet yang akan dipohon daripada JKR Persekutuan, manakala pelaksanaannya akan dipantau oleh JKR Negeri.

“Pihak Roadcare akan menilai keperluan sama ada kerja-kerja tampalan lubang atau penurapan semula perlu dilakukan bagi memastikan keadaan jalan lebih baik dan selesa untuk pengguna,” katanya.

Sebelum ini, ujar beliau lagi, jalan raya tersebut tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan banyak lubang dan menimbulkan kesesakan lalu lintas.

“Namun bermula hari ini, kebenaran telah diberikan kepada Roadcare untuk menyelenggaranya dan ini satu perkembangan yang sangat positif,” tegasnya.

Tambah beliau, Pakej 3BC melibatkan laluan dari Bandar Baru ke bandar utama sejauh kira-kira tujuh kilometer dan akan diselenggara oleh Roadcare di bawah pemantauan kerajaan negeri.

Sementara itu, katanya, Pakej 3D iaitu laluan dari Taman Wangi ke Mentara sejauh kira-kira 10 kilometer masih di bawah tanggungjawab kontraktor sedia ada, Syarikat Jaya Zira, yang kekal bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di laluan tersebut.

Mengulas mengenai jalan lencongan, Dr Izani berkata laluan berkenaan sebelum ini turut mengalami kerosakan teruk dan menjejaskan kelancaran trafik, namun kerja-kerja tampalan yang dilakukan baru-baru ini telah menunjukkan sedikit peningkatan.

“Kita akan meminta pihak kontraktor melaksanakan pembaikan yang lebih menyeluruh termasuk kerja penurapan semula supaya jalan menjadi lebih baik, selesa dan perjalanan lebih lancar.

“Kerajaan negeri menyasarkan kerja-kerja pembaikan dapat dipercepatkan dan sebahagiannya disiapkan sebelum Tahun Baharu Cina, atau sekurang-kurangnya keadaan jalan menjadi jauh lebih baik berbanding sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2026

- Advertisement -