
GEORGE TOWN: Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Norazman Ishak mengingatkan semua pihak agar tidak terpengaruh dengan janji manis kapitalis penternak babi yang sering mendakwa semua peraturan boleh dipatuhi sebelum sesuatu projek dilaksanakan.
“Adakah benar semua peraturan, akta dan enakmen boleh dipatuhi sepenuhnya? Adakah kapitalis penternak babi benar-benar mampu mematuhi 100 peratus peruntukan berkaitan?
“Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), enakmen kawalan penternakan babi serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127),” ujarnya.
Menurut beliau, rakyat yang telah lama menjadi mangsa pencemaran alam sekitar akibat aktiviti penternakan babi mengetahui jawapan sebenar kepada persoalan tersebut berdasarkan pengalaman mereka sendiri.
Beliau mengemukakan contoh nasib dilalui penduduk Kampung Selamat yang menerima kesan pencemaran Sungai Kereh di Tasek Gelugor akibat aktiviti kandang penternakan babi di situ.
Menurut beliau, perkara itu telah berlarutan lebih 40 tahun tanpa penyelesaian tuntas, sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai penguatkuasaan undang-undang dan keadilan terhadap penduduk setempat.
Malah beliau berkata, isu berkenaan telah berkali-kali dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional khususnya dari PAS dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Memorandum penduduk juga ujarnya, telah banyak diserahkan kepada pihak berkuasa, namun meskipun pelbagai aduan dan bantahan dibuat, pencemaran najis babi di Sungai Kereh masih berterusan.
“Persoalannya, adakah penternak babi kebal? Mengapa isu yang telah berlarutan lebih empat dekad ini masih gagal diselesaikan walaupun saluran rasmi telah digunakan berkali-kali,” katanya.
Beliau membangkitkan demikian sebagai nasihat kepada warga penduduk Bukit Tagar, Hulu Selangor yang bakal berhadapan projek ladang ternakan babi berskala besar dicadang dipindahkan ke situ.
Projek didakwa akan menggunakan sistem ladang ternakan moden (MPF) di tanah tinggi berkeluasan 500 ekar itu dilihat Norazman akan mengulangi risiko dan kesan pencemaran yang mungkin berlaku seperti di Tasek Gelugor.
Tegasnya lagi, isu pencemaran alam sekitar bukan sekadar soal pembangunan atau ekonomi, sebaliknya melibatkan kesihatan awam, kelestarian alam sekitar serta hak rakyat untuk menikmati persekitaran yang bersih dan selamat.
“Selagi tiada tindakan tegas dan konsisten, rakyat akan terus menjadi mangsa, manakala pencemaran akan terus berulang,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/1/2026











