Lokasi ‘buang’ babi, sampah: Apa dosa warga Bukit Tagar?

Shafie Ngah (kiri) dan Muiz Mahyuddin.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Cadangan memusatkan ladang ternakan babi moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor mengundang bantahan keras ramai yang menyifatkan projek itu sebagai tidak sensitif serta berisiko tinggi menyebabkan pencemaran.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Shafie Ngah berkata, kawasan Bukit Tagar yang telah dijadikan tapak pelupusan sampah seluas 800 hektar sejak 2005 sudah sekian lama memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

Merujuk rekod lampau, beliau mengingatkan bahawa sisa dari tapak pelupusan sampah di kawasan itu pernah mencemari bekalan air Sungai Selangor kerana kedudukannya yang terletak di hulu sungai.

“Bekalan air berbau najis pernah dilaporkan berlaku di Kuala Lumpur, Gombak, Petaling Jaya, Klang, Shah Alam, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Hulu Langat pada 26 Februari 2006.

“Proses leachate (air larut resap) berlaku di tapak pelupusan sampah yang meningkatkan kandungan amonia di Sungai Selangor dan Sungai Karang berhampiran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal meluahkan kebimbangan, sekiranya pencemaran air akibat pelupusan sampah sedia ada sudah cukup membimbangkan, tambahan risiko daripada sisa babi bakal memburukkan lagi keadaan.

ADUN Hulu Bernam, Muhammad Muiz Mahyuddin yang mewakili penduduk setempat pula berkata, cadangan projek ladang babi berkapasiti 100,000 ekor di tanah seluas 500 ekar itu perlu diteliti semula dengan serius.

Beliau menegaskan, kawasan tersebut berjiran dengan DUN Hulu Bernam dan menempatkan Sungai Selangor, kolam takungan air serta loji rawatan air yang menjadi ‘nadi kehidupan’ bagi 60 hingga 70 peratus penduduk di Selangor.

“Penduduk menuntut supaya Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) dilaksanakan terlebih dahulu. Dapatkan pandangan semua pihak berkepentingan.

“Kerajaan perlu menilai risiko limpahan kolam takungan buangan babi apabila hujan melebihi tahap biasa atau pencemaran dari larut resap ke dalam tanah ke sumber air mentah,” jelasnya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Hulu Selangor turut mempersoalkan kewajaran penternakan babi dalam kuantiti besar dilakukan di situ memandangkan guna tanah di Selangor semakin terhad.

Dalam pada itu, wakil penduduk tempatan, Zainal Sudin meluahkan rasa kesal kerana Hulu Selangor seolah-olah dijadikan tempat membuang segala masalah negeri, bermula dengan tapak pelupusan sampah dan kini dicadang pula projek ternakan babi berskala besar.

“Jalan rosak akibat lori bertahun-tahun, kini dicadangkan pula (jadi) pusat ternakan babi. Apa dosa rakyat Hulu Selangor di mata kerajaan negeri?

“Persekitaran Bukit Tagar dan Sungai Tengi didiami majoriti penduduk Muslim. Ini bukan isu kebencian kaum, tetapi isu keadilan, kepekaan dan kewarasan perancangan,” katanya.

Mewakili suara penduduk, beliau mengemukakan 15 persoalan mendesak kepada Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk dijawab.

Antara persoalan utama yang dibangkitkan adalah mengenai rasional pemilihan Bukit Tagar berbanding kawasan industri sedia ada yang lebih serasi demografinya, serta status laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek tersebut.

“Mengapa kawasan majoriti bukan pengguna industri ini dipilih sebagai lokasi utama? Adakah kerajaan mengambil kira sensitiviti agama dan penerimaan sosial?

“Siapakah pemilik, pengendali dan pihak berkepentingan projek ini? Jika berlaku pencemaran atau kegagalan sistem, apakah pelan kecemasan dan pampasan kepada penduduk?” soalnya lanjut.

Pihaknya menegaskan bahawa kerajaan negeri yang berwibawa tidak sepatutnya menjadikan kawasan luar bandar sebagai ‘halaman belakang’ untuk membuang masalah tanpa empati terhadap kesejahteraan rakyat tempatan.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengulas kebimbangan pencemaran berkata, kawasan Bukit Tagar sebelum ini merupakan tapak pelupusan sampah terbuka dan projek yang dicadangkan akan menggunakan konsep ‘zero discharge’ tanpa sebarang pelepasan sisa ke sungai.

“Berkenaan dengan masalah pencemaran sebagainya, kita lihatlah sebab itu (Bukit Tagar) adalah tempat pelupusan sampah terbuka dan kalau ikutkan, itu juga mencemarkan,” katanya mempertahankan pemilihan lokasi tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata keluasan 500 ekar yang dicadangkan itu kononnya merangkumi zon penampan bagi mengurangkan kesan bau, bunyi dan memastikan jarak selamat daripada kawasan awam. – HARAKAHDAILY 19/1/2026

- Advertisement -