
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor diingatkan agar tidak menggunakan istilah lunak seperti ‘zero discharge’ (sifar pelepasan) dan ‘zero emission’ dalam isu penternakan babi moden sekiranya realiti pengurusan sisa tersebut tidak selari dengan gambaran diberikan.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, istilah tersebut seolah-olah menggambarkan tiada langsung bau, tiada sisa yang terkeluar dan industri tersebut menjadi bersih sepenuhnya, sedangkan hakikat teknikalnya adalah berbeza.
Menurutnya, walaupun cadangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor untuk menggunakan sistem biogas bagi menguraikan najis di dalam tangki pencernaan (digester) untuk menghasilkan tenaga metana adalah satu langkah ke hadapan, namun ia tetap menghasilkan sisa akhir yang perlu dirawat.
“Adakah najis babi yang telah diproses sedemikian tiada sisa yang perlu dirawat? Jawapannya tidak sama sekali.
“Najis babi yang telah memasuki proses penguraian itu akan menghasilkan enapcemar (separa cecair) yang perlu dirawat. Ia tidak boleh dilepaskan begitu sahaja,” tulis beliau dalam hantaran di facebooknya.
Yusfarizal menjelaskan, walaupun enapcemar yang mendap boleh dijadikan baja, enapcemar cecair yang terhasil wajib dirawat semula supaya menepati kualiti yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum dilepaskan ke sistem saliran.
“Perkara ini turut disahkan dalam Garis Panduan Pengurusan Sisa Buangan Ternakan Babi (Edisi 1, Cetakan 2019) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” tegasnya.
Beliau turut meluahkan kebimbangan mengenai aspek praktikal pelaksanaan sistem tersebut yang berisiko berdepan kegagalan mekanikal.
“Itu atas kertasnya, secara praktikalnya kita pun masih ragu-ragu. Apa jadi kalau digester itu bocor? Apa jadi kalau enapcemar terlepas keluar tanpa dirawat?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan persoalan mengenai skala penternakan yang diperlukan untuk menjana tenaga biogas yang berbaloi secara komersial.
Menurutnya, untuk menjana 1MW tenaga biogas, ia memerlukan jumlah najis yang sangat besar, sekaligus membayangkan kemungkinan peningkatan jumlah ternakan babi di negeri tersebut.
“Lagi banyak babi, lagi banyak najis. Lagi banyak najis, lagi banyak Metane (gas) boleh dihasilkan. Baru untung.
“Itulah sebab kenapa di Pulau Pinang, timbul cadangan untuk angkut najis babi naik lori ke kilang biogas di Valdor suatu ketika dahulu, dipercayai untuk cukupkan bekalan najis babi, namun akhirnya tidak menjadi,” ujarnya.
Justeru, beliau mendesak Kerajaan Negeri supaya tidak mempermudah istilah ‘zero discharge’ sedangkan banyak perincian teknikal dan keselamatan belum dimuktamadkan.
“Sehingga kini rakyat masih tertanya-tanya mengenai lokasi sebenar projek, ketiadaan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA), serta kejelasan mengenai zon penampan dan lantikan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI),” hujahnya lagi.
Yusfarizal turut berkata, pentadbiran Dato’ Seri Amirudin Shari dilihat perlahan dalam menangani isu ini walaupun telah memegang tampuk pemerintahan sejak tahun 2018.
“Kepada Kerajaan Selangor, tolonglah buat kerja betul-betul. Kerajaan YAB (Yang Amat Berhormat) Dato’ Amiruddin ini daripada 2018 lagi. Betullah Kerajaan Persekutuan bertukar dan Exconya berbeza, tapi Menteri Besarnya orang yang sama.
“Jadi soalan jujur saya, daripada tahun 2018 hingga tahun 2025 ini kita buat apa?” soalnya. –HARAKAHDAILY 19/1/2026











