Aerobik tak sopan: Pemuda PAS sokong JAIS

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong penuh tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan segera, telus dan berlandaskan undang-undang berhubung dakwaan aktiviti senaman aerobik tidak sopan di tempat awam yang tular di media sosial.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Hanif Jamaluddin, berkata keutamaan Pemuda PAS adalah mempertahankan maruah Islam, adab di ruang awam serta keharmonian masyarakat tanpa sebarang kompromi.

Menurut beliau, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan sensitiviti agama, budaya tempatan dan kehormatan umat Islam.

“Langkah siasatan ini penting bukan sekadar untuk menghukum, tetapi bagi menegakkan kebenaran, memelihara keharmonian masyarakat serta memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menekankan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana perbuatan yang mencemarkan nilai kesopanan dan merendahkan martabat Islam.

“Ketegasan ini bukan tanda kebencian, sebaliknya bukti kesungguhan mempertahankan adab, akhlak dan kehormatan agama.

“Tanggungjawab menjaga maruah Islam mesti dilaksanakan dengan ilmu, disiplin dan akhlak yang tinggi,” ujarnya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Shahzihan Ahmad, memaklumkan siasatan dimulakan susulan penularan satu rakaman video di aplikasi TikTok yang memaparkan aktiviti senaman aerobik dipercayai berlaku di Bukit Badong, Selangor itu.

Beliau berkata, JAIS memandang serius perkara tersebut kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek adab di tempat awam, malah berpotensi mencemarkan imej agama Islam.

“Perbuatan itu dilihat sangat tidak beradab dan mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam atau perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, siasatan merangkumi pengesahan lokasi sebenar kejadian, penganjur program serta individu yang terlibat sebelum tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian hotline JAIS di 1800-88-2424.

Dalam perkembangan berkaitan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor sebelum ini dilaporkan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kejadian berkenaan.

Terdahulu, beberapa tangkap layar tular di aplikasi TikTok memaparkan sekumpulan wanita berpakaian tidak sopan yang didakwa melakukan aktiviti senaman aerobik di lokasi terbabit.- HARAKAHDAILY 19/1/2026

- Advertisement -