
KOTA BHARU: Hubungan politik antara PAS dan DAP tidak mungkin berlaku lagi berikutan perbezaan asas yang sangat ketara, khususnya melibatkan soal ideologi, prinsip agama dan hala tuju pemerintahan.
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, pengalaman bekerjasama sebelum ini telah membuktikan wujud jurang besar antara PAS dan DAP yang sukar dirapatkan.
Terutama katanya, dalam isu melibatkan kedudukan Islam sebagai teras pentadbiran negara di mana PAS berpegang teguh kepada prinsip Islam sebagai panduan menyeluruh dalam politik dan pemerintahan.
Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu menegaskan, DAP pula secara konsisten membawa pendekatan sekular yang bercanggah dengan asas perjuangan PAS.
“PAS tidak menolak kerjasama politik secara mutlak, namun ia mesti berpaksikan kepada prinsip yang jelas serta tidak menggadaikan dasar perjuangan Islam,” katanya mengulas hubungan kedua-dua parti itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam sesi podcast Sisi Pandang baru-baru ini.
Dato’ Mohd Amar berkata, PAS mengambil iktibar daripada sejarah kerjasama lampau yang akhirnya membawa lebih banyak ketegangan berbanding manfaat kepada agenda Islam.
Justeru katanya, PAS kini memilih pendekatan politik yang lebih selari dengan rakan gabungan yang menghormati kedudukan Islam, Perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor turut menjelaskan bahawa perbezaan pandangan bukan sekadar bersifat politik praktikal, sebaliknya melibatkan falsafah pemerintahan.
PAS katanya, melihat politik sebagai sebahagian daripada tanggungjawab agama yang menuntut keadilan, moral dan kesejahteraan masyarakat, manakala DAP sering dilihat menekankan kebebasan mutlak tanpa batas nilai agama.
Dalam perkembangan sama, Dato’ Mohd Amar menyeru rakyat agar menilai landskap politik negara secara matang dan tidak terpengaruh dengan sentimen sempit.
Katanya, kestabilan negara hanya dapat dicapai melalui kerjasama politik yang menghormati identiti Islam serta realiti masyarakat majmuk Malaysia.
Tambah beliau, pendirian tegas PAS terhadap DAP ini dilihat konsisten dengan hala tuju parti itu sejak beberapa tahun kebelakangan di mana telah bersama dengan Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya, pembentukan gabungan politik baharu lebih menekankan agenda Islam, kedaulatan undang-undang serta tadbir urus berintegriti. – HARAKAHDAILY 19/1/2026











