
IPOH: Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengajak kepada konsep ‘Satu Rumah Bangsa Melayu’, namun perlu dinilai secara jujur, matang dan berpaksikan realiti semasa, bukannya retorik politik semata-mata.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Razman Zakaria berkata, Umno pada hari ini tidak berada pada kedudukan wajar untuk mengajak parti-parti lain memasuki sebuah ‘rumah’ yang telah roboh.
Malah beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak menyifatkan situasi Umno juga dipenuhi krisis kepercayaan, konflik dalaman serta dibayangi pelbagai skandal kepimpinan.
“Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah sokongan orang Melayu terhadap Umno semakin merosot, manakala Umno pula semakin kehilangan sokongan akar umbi Melayu.
“Perpecahan orang Melayu kini berada pada tahap yang serius dan berbahaya, dan ia tidak lagi boleh diselesaikan melalui pendekatan politik kepartian yang sempit atau slogan bersifat kosmetik,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Razman menegaskan, gagasan penyatuan ummah bukan idea baharu dan telah lama digagaskan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dengan matlamat menyatukan parti-parti Melayu.
Juga katanya, gagasan tersebut sedia melibatkan sama parti-parti bukan Melayu tidak ekstrem, berlandaskan objektif bersama iaitu menolak rasuah, korupsi dan kepimpinan yang mempunyai salah laku.
“Penyatuan ini mesti dibina atas asas integriti, keadilan dan prinsip Islam, bukan demi menyelamatkan individu atau kepentingan kelompok tertentu,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol turut menegaskan, kebanyakan pemimpin Umno hari ini dilihat jauh menyimpang daripada prinsip asas perjuangan asal.
Menurutnya, kenyataan mereka bersifat berbelit-belit, mengajak orang Melayu bersatu, tetapi dalam masa yang sama terus mempertahankan kerjasama dengan DAP.
Tegas beliau, sikap tersebut adalah sama sekali bercanggah dengan dapatan kajian Pemuda Umno sendiri menunjukkan persepsi rakyat menolak kerjasama Umno–DAP.
“Situasi ini membuktikan bahawa kepimpinan Umno tidak serius dalam usaha penyatuan Melayu yang sebenar. Ucapan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno jelas gagal menawarkan hala tuju yang meyakinkan.
“Sebaliknya lebih bersifat retorik politik, kononnya menentang DAP, sambil cuba membangkitkan simpati terhadap Dato’ Seri Najib. Malangnya, naratif ini hanya dipercayai oleh sebahagian ahli Umno yang terpaksa mengiyakan kenyataan Presiden mereka walaupun jelas tidak konsisten,” tempelaknya.
Razman turut menyentuh isu konsesi strategik yang dikatakan diberikan kepada pihak bukan Bumiputera, termasuk Menara Kuala Lumpur, dan mempertikaikan sama ada tindakan tersebut adil, telus dan menjaga kepentingan nasional serta Bumiputera.
“Umno sering dilihat seolah-olah mempertahankan institusi Melayu seperti FELDA dan FELCRA, namun pada masa yang sama gagal menunjukkan ‘political will’ yang tegas dalam menjaga dasar serta aset strategik orang Melayu dan negara.
“Isu Menara Kuala Lumpur, misalnya, menimbulkan persoalan besar apabila konsesi dikatakan diberikan kepada syarikat bukan Bumiputera walaupun kontrak sedia ada belum tamat.
”Menara KL adalah milik kerajaan, manakala konsesi adalah kontrak. Persoalannya, adakah kontrak tersebut adil, telus dan benar-benar menjaga kepentingan nasional serta Bumiputera?” soalnya.
Menurut Razman, beliau menyokong sepenuhnya kenyataan Tan Sri Presiden PAS bahawa ajakan dan taktikal politik Presiden Umno serta kepimpinannya hari ini bukanlah bertujuan menyelamatkan bangsa, agama dan negara sebagaimana perjuangan tulen para pemimpin Melayu pada tahun 1946.
“Ketika itu, pemimpin Melayu benar-benar bersatu menentang Malayan Union sehingga termaktubnya Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Realitinya perjuangan Umno hari ini lebih menjurus kepada usaha melepaskan diri daripada tekanan kes-kes besar, termasuk pembebasan daripada puluhan kes ‘prima facie’ melibatkan pemimpin mereka, serta skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang turut mengaitkan kepimpinan Umno secara langsung.
“Umno mendakwa mahu penyatuan Melayu, namun dalam masa yang sama terus mempertahankan Pakatan Harapan (PH) dan DAP. Ini adalah formula songsang. Selagi pendekatan ini diteruskan, Islam tidak akan terserlah sebagai teras kepimpinan negara,” tegasnya.
Beliau menegaskan, PAS kekal komited memperkukuh Perikatan Nasional (PN) dan akan terus memperjuangkan penyatuan ummah sebenar berlandaskan prinsip Islam Memimpin Ummah demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara. – HARAKAHDAILY 19/1/2026











