Pelaburan asing dipasti manfaat kepada rakyat

Azman (kiri) bersama wakil syarikat McCormick membuat lawatan di projek Lada Hitam McCormick Lembah Bidong, Kuala Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengambil pendekatan tegas dalam memastikan setiap pelaburan asing yang dibawa masuk ke negeri ini mematuhi dasar serta kepentingan negeri, selain memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri menetapkan syarat jelas menerusi memorandum persefahaman (MoU) termasuk kepada syarikat bertaraf antarabangsa McCormick.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu projek berskala besar hanya menguntungkan pelabur semata-mata, sebaliknya perlu membawa nilai tambah kepada ekonomi tempatan.

“Dalam menguruskan kemasukan pelaburan bersaiz mega ke Terengganu dari sebuah syarikat antarabangsa, kerajaan negeri telah meletakkan garis panduan yang jelas. Pelaksanaannya perlu dipantau secara berkala.

“MoU telah ditandatangani dengan terma-terma yang dipersetujui bersama. Pelabur mesti menghormati polisi negeri dan kerajaan negeri perlu melakukan yang terbaik supaya perlaksanaan projek berjaya.

“Kita jangan rasa kerdil bila berhadapan dengan pelabur besar kerana kita adalah tuan tanah. Kita inginkan supaya projek berjaya serta dalam masa yang sama hak negeri terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, ujar beliau, antara syarat utama ialah memastikan majoriti tenaga kerja projek terdiri daripada rakyat negeri ini dan setakat ini 83 peratus daripada 270 pekerja merupakan rakyat Terengganu, melebihi syarat minimum 70 peratus yang ditetapkan.

Dalam masa sama, McCormick turut diwajibkan membina kilang pemprosesan bagi memaksimumkan nilai tambah di dalam negeri dan bukan sekadar mengeksport hasil dalam bentuk bahan mentah.

“Kita tak mahu hasil lada hitam dihantar keluar dalam bentuk bahan mentah sahaja. Sekarang ini pembinaan kilang mencapai kemajuan 75 peratus,” katanya.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, kerajaan negeri turut menekankan aspek pemindahan teknologi melalui pembabitan usahawan tempatan supaya mereka turut menikmati manfaat jangka panjang daripada pelaburan tersebut.

“Kita mahu supaya ada pemindahan teknologi dalam bentuk pembangunan usahawan atau ‘outgrowers’.

“Kerajaan berikan 600 hektar tanah untuk McCormick dalam masa yang sama dibangunkan 50 hektar tanah yang dimasukkan peserta. McCormick perlu bantu usahawan tempatan untuk turut sama memanfaatkan teknologi yang mereka miliki,” jelasnya.

Projek Lada Hitam McCormick di Lembah Bidong, Setiu kini memasuki fasa pembinaan kilang dan perluasan ladang yang dirancang sehingga mencapai keluasan 500 hektar.

Hampir 300 rakyat Terengganu kini terlibat dalam projek tersebut, dengan sasaran peluang pekerjaan sehingga 2,000 apabila projek beroperasi sepenuhnya.

Ia merupakan suatu indikator bahawa anak Melayu Terengganu mempunyai kualiti yang mampu memenuhi standard kerja sebuah syarikat antarabangsa seperti McCormick.

Projek bernilai RM360 juta itu merupakan ladang milik McCormick yang pertama di dunia, dengan tuaian hasil pertama dijangka bermula pada Oktober 2026. – HARAKAHDAILY 13/1/2025

- Advertisement -