
BENGALURU: Sebuah roket India yang membawa 16 muatan peralatan dan eksperimen termasuk satelit pengawasan bumi tersasar dan hilang kawalan sebaik sahaja dilancarkan, menjadi satu lagi kes yang menjejaskan kredibilito Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO).
Ini merupakan insiden roket Kenderaan Pelancar Satelit Kutub (PSLV) dalam tempoh kira-kira lapan bulan, yang kini menjejaskan reputasinya yang terkenal dengan kadar kejayaan melebihi 90 peratus membabitkan sekitar 60 misi terdahulu.
PSLV-C62 berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Satish Dhawan di pulau Sriharikota pada jam 10:18 pagi (04488 GMT) pada Isnin yang membawa satelit pemerhatian EOS-N1 dan 15 muatan lain yang dibangunkan oleh syarikat baharu dan institusi akademik di India dan luar negara.
Kawalan misi ISRO berkata roket itu berfungsi seperti biasa untuk sebahagian besar penerbangan sebelum gangguan dan penyimpangan yang tidak dijangka dari laluannya.
“Misi PSLV-C62 mengalami anomali semasa penghujung peringkat PS3. Analisis terperinci telah dimulakan,” kata ISRO dalam satu kenyataan, tanpa memberikan butiran lanjut tentang apa yang telah berlaku atau di mana roket itu berakhir.
PSLV telah menjadi pusat kepada program angkasa lepas India, setelah melancarkan misi seperti Chandrayaan-1 dan balai cerap solar Aditya-L1. Ia juga menyokong usaha India untuk membuka pengeluaran angkasa lepas kepada industri swasta.











