Siasat hotel promosi fasiliti perlakuan songsang di Melaka

Dr Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

AYER KEROH:Dakwaan mengatakan sebuah hotel di Melaka menawarkan atau mempromosikan fasiliti ‘perlakuan songsang’ yang bercanggah dengan nilai agama, budaya dan norma masyarakat tempatan perlu disiasat segera.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, isu berkenaan yang dilaporkan sebuah portal tempatan serta dibincangkan secara meluas di media sosial tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh sensitiviti agama dan ketenteraman awam.

- Advertisement -

Menurutnya, sebagai sebuah negeri yang menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan serta memelihara keharmonian masyarakat majmuk, sebarang bentuk normalisasi perlakuan songsang, sama ada secara tersurat atau tersirat melalui promosi perniagaan, tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan Negeri Melaka mengarahkan siasatan segera terhadap hotel terbabit bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang, syarat pelesenan atau nilai moral masyarakat.

“Sekiranya siasatan mendapati wujud elemen promosi, perkhidmatan atau amalan yang jelas bercanggah dengan undang-undang atau syarat lesen, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi.

“Jika perlu, arahan penutupan premis jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban turut menegaskan kerajaan tidak seharusnya dilihat lemah atau berdiam diri apabila berdepan isu yang mencabar sensitiviti agama dan ketenteraman awam.

Dr Mohd Yadzil berkata, isu berkenaan juga mendedahkan kelemahan pemantauan berterusan pihak berkuasa, khususnya terhadap hotel bajet dan penginapan kecil yang sering terlepas daripada pemeriksaan berkala.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sektor pelancongan tidak boleh dijadikan alasan untuk menggadaikan prinsip, agama dan nilai masyarakat negeri ini.

“Melaka bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi sebuah negeri bersejarah yang mempunyai identiti, adab dan batas moral. Kerajaan wajib mempertahankan imej ini dengan tindakan, bukan sekadar kenyataan,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, sebuah hotel bajet di Melaka mencetuskan persoalan apabila memaparkan label ‘gay friendly’ sebagai salah satu fasiliti di laman web rasminya, sekali gus menimbulkan kebimbangan awam.

Tawaran itu menimbulkan tanda tanya sama ada ia bercanggah dengan nilai budaya, norma masyarakat dan pegangan majoriti rakyat Malaysia.

Susulan itu, pihak berkuasa digesa memantau serta mengambil tindakan sekiranya konsep perkhidmatan berkenaan didapati melanggar undang-undang atau garis panduan sedia ada. – HARAKAHDAILY 13/1/2026

- Advertisement -