Projek babi di Selangor: Kenapa tergesa-gesa?

Wafi Bahaudin (tengah) dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor Kuala Kubu Bharu.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan Negeri Selangor memindahkan secara tergesa-gesa projek ternakan babi di Tanjung Sepat Kuala Langat ke Bukit Tagar Hulu Selangor menimbulkan persoalan yang perlu dirungkai.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Hulu Selangor, Wafi Bahaudin mempersoalkan kenapa lokasi mempunyai 75 peratus orang Melayu Islam itu dipilih kerana kawasan terbabit sudah tersedia tapak pelupusan sampah di Bukit Tagar.

- Advertisement -

Selain itu beliau berkata, penduduk juga tidak dimaklumkan oleh kerajaan negeri mengenai rancangan membina pusat penternakan babi seluas 500 ekar melainkan diberitahu menerusi laporan media massa dan media sosial.

“Ada projek mega penternakan babi yang hendak dilaksanakan menjadi satu tanda tanya besar, kenapa lokasi ini dipilih sebagai tempat, kenapa bukan tempat lain, walaupun disini ada tempat pusat pelupusan sampah.

“Adakah kerana pusat ini maka Hulu Selangor dipilih untuk menjadi pusat ternakan babi, saya kira ini satu perkara yang sangat penting untuk masyarakat tahu kerana benda ini sudah viral di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor Kuala Kubu Bharu berkaitan kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk mempercepatkan pemindahan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar tahun ini yang sepatutnya dilakukan pada 2030.

Pemindahan segera itu dibuat selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan terhadap pembinaan ladang di Tanjung Sepat itu dibina walaupun untuk sementara waktu sahaja.

Mengulas perkara itu Wafi berkata, kenyataan Baginda sebelum ini mendedahkan wujud unsur penyelewengan dan kepentingan individu tertentu dalam projek penternakan babi skala besar yang memerlukan tindakan segera oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, laporan tersebut yang turut disertai lima badan bukan kerajaan (NGO) tempatan menyokong penuh titah Sultan Selangor yang mendedahkan kewujudan aktiviti yang menyalahi undang-undang dalam projek tersebut.

“Saya kira kenyataan yang sangat serius dikeluarkan oleh baginda, bila baginda bertitah mesti ada asasnya, kenapa sultan mengatakan satu perkara ini, jadi kami diperingkat Dewan Pemuda PAS Hulu Selangor buat laporan.

“Ini untuk adanya satu siasatan daripada pihak yang berkaitan berkenaan dengan salah urus tadbir ini, jika sekiranya berlaku dalam projek mega ini yang berkemungkinan akan dilaksanakan di Bukit Tagar,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2026

- Advertisement -