Rumah sudah siap, ‘kabinet’ masih berbunyi – Syahir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kabinet baharu telah diumumkan, namun Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyifatkan ia masih menimbulkan persoalan di kalangan rakyat.
 
Menurut beliau, Perdana Menteri kekal memegang portfolio Menteri Kewangan, manakala DAP diberikan portfolio yang lebih ‘strategik’, namun, Umno kelihatan sekadar berpuas hati dengan posisi diberikan.

- Advertisement -


 
“Dari sudut politik, susunan ini menimbulkan persoalan sama ada Kabinet dibentuk atas pertimbangan merit, atau demi mengekalkan ‘konsesi politik’ Kerajaan Madani yang kelihatan semakin rapuh,” ujarnya.
 
Beliau menekankan bahawa tumpuan perlu diberikan kepada dua kementerian dengan bajet terbesar, iaitu Pendidikan dan Kesihatan, kerana ia memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
 
Selain itu, Mohd Syahir menegaskan dua kementerian dengan ‘agenda’ terbesar DAP, iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Wilayah, turut memerlukan perhatian khusus.
 
Ia terutamanya berkaitan isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibantah banyak pihak.
 
“Ujian sebenar Kabinet terletak pada ukuran prestasi dan persepsi di mata rakyat,” tegas beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.
 
Beliau menambah, dalam masa terdekat, isu ekonomi, rasuah, ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) serta polemik URA dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menuntut pendirian yang tegas.
 
“Justeru, Kabinet perlu lulus ‘ujian bunyi’ untuk sekian kalinya. Selamat bertugas!” katanya yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Ahli Parlimen Perikatan Nasional.
 
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.

Beliau berkata rombakan itu dibuat bagi memastikan Jemaah Menteri berfungsi lebih berkesan, mengisi kekosongan sedia ada serta menumpukan usaha menjana pertumbuhan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat.

Secara keseluruhan, rombakan berkenaan melibatkan tiga pertukaran portfolio menteri, 10 pertukaran portfolio timbalan menteri, tujuh lantikan baharu menteri dan lapan lantikan baharu timbalan menteri. – HARAKAHDAILY 17/12/2025

- Advertisement -