Dr Aliakbar hargai ibu bapa sokong program PASTI

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Penaung PASTI Zon Kota Kinabalu, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa pelajar PASTI yang terus memberikan sokongan dan sumbangan dalam pelaksanaan program-program pusat asuhan itu.

- Advertisement -

“Kita meletakkan sasaran untuk menjadi kumpulan yang membangunkan institusi pendidikan bagi anak-anak pada peringkat pra sekolah iaitu empat, lima dan enam tahun sebelum mereka melangkah ke sekolah rendah.

“Anak-anak ini merupakan fitrah, dan terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkan mereka, sekali gus memastikan mereka membesar sebagai anak-anak yang soleh dan solehah,” katanya semasa merasmikan Sukaneka PASTI Zon Kota Kinabalu di Stadium Kompleks Likas, di sini, hari ini.

Beliau yang juga calon PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN Karambunai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menegaskan komitmen PASTI untuk memikul amanah atas kepercayaan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka belajar di PASTI.

Ini, katanya dengan keyakinan bahawa institusi tersebut mampu melahirkan generasi yang baik, khususnya mengenal Allah, mengenal Nabi SAW dan melaksanakan syariat Allah SWT.

“Saya kira ini juga menjadi objektif utama penubuhan PASTI, khususnya di Kawasan Sepanggar dan Kota Kinabalu amnya,” ujarnya.

Sukaneka itu berlangsung meriah dengan penglibatan lebih 500 peserta berumur antara 4 hingga 6 tahun yang mewakili 14 buah PASTI.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan ADUN Gurun, Kedah Baddrol Bakhtiar turut memeriahkan program tahunan tersebut.

Para peserta menyertai empat acara yang dipertandingkan, antaranya lumba lari berganti-ganti, lumba lompat dalam guni, mengisi air dalam botol serta pertandingan mewarna bagi kategori 4, 5 dan 6 tahun.

Turut memeriahkan acara ialah pertandingan sukaneka melibatkan ibu bapa, termasuk lari berganti-ganti dan tarik bola dalam gelung.

Temasya ini menobatkan PASTI As-Solihin, Taman Putera Jaya sebagai juara keseluruhan, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh PASTI Al-Khawarizmi, Taman Indah Permai dan PASTI Al-Fateh, Taman Salut Perdana. – HARAKAHDAILY 16/11/2025

- Advertisement -