Rakyat Sabah bersedia melangkah ke fasa lebih baik

Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama sebahagian pemimpin dan penyokong PERIAKATAN NASIONAL pada Majlis Penamaan Calon DUN Merotai, semalam.
- Advertisement -

KALABAKAN: Situasi penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, semalam memberi isyarat bahawa rakyat negeri ini sudah bersedia melangkah ke fasa yang lebih baik, kata Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Bagi Menteri Besar Terengganu itu, suasana penamaan calon PRN Sabah semalam cukup membangkitkan keyakinan dan harapan.

Menurutnya, seawal pagi, rakyat pelbagai lapisan hadir bersama iaitu warga kampung, anak muda, golongan pekerja, para pendidik dan usahawan kecil.

Beliau berkata, semuanya membawa satu semangat yang sama, iaitu membina masa depan Sabah dengan pentadbiran yang lebih stabil, bersih dan menghormati suara rakyat.

“Alhamdulillah, saya juga berkesempatan hadir di Pusat Penamaan Calon N.72 Merotai bagi memberikan sokongan kepada calon, Hasan Haris yang akan mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN),” ujarnya menerusi catatan di laman Facebook beliau, semalam.

Pada PRN kali ini, Hasan yang menjadi calon PN bagi DUN Merotai menghadapi saingan daripada calon PIS, Rhyme @ Reymie Kassim, Sarifuddin Hata (Warisan) dan Datuk Ruji Ubi (PH).

Dr Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, Sabah memerlukan kepimpinan yang jujur, adil serta benar-benar fokus membangunkan rakyat, bukan hanya ketika musim pilihan raya.

Justeru, ujarnya PN hadir dengan tekad untuk menawarkan pentadbiran yang telus, amanah dan komited membela rakyat.

Katanya, naratif yang dibawa bukan sekadar kata-kata, tetapi berpaksikan realiti harian rakyat Sabah seperti kos sara hidup yang semakin menekan, akses pendidikan dan kesihatan yang belum seimbang, peluang pekerjaan yang perlu diperluas serta pembangunan luar bandar yang mesti diperkukuh.

“Hari ini bukan sekadar penamaan calon. Ia adalah isyarat bahawa rakyat Sabah sudah bersedia melangkah ke fasa yang lebih baik iaitu fasa yang menuntut keberanian, integriti dan iltizam politik yang matang.

“Insya-Allah, dengan dukungan rakyat, Sabah mampu bangkit lebih kuat. Sedikit demi sedikit kita berusaha, akhirnya sampai juga ke masa depan yang lebih baik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kemaman.

DUN Merotai mempunyai 26,179 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 16/11/2025

- Advertisement -