Sokongan keluarga, penyokong jadi kekuatan ampuh

Ahmad Dullah bersama ibu dan isteri pada Majlis Penamaan Calon DUN Tanjung Batu, hari ini.
- Advertisement -

KALABAKAN: Dalam setiap langkah sebagai seorang calon, tersirat kekuatan besar yang menjadi tunjang perjuangannya, kata Ahmad Dullah.

- Advertisement -

Bagi beliau, perjalanan menuju medan demokrasi hari ini diserikan dengan sokongan penuh seorang ibu yang setia serta dorongan teguh daripada isterinya yang sentiasa berada di sisi.

Justeru, katanya perarakan penamaan calon bagi DUN Tanjung Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, hari ini bukan sekadar rutin politik namun menjadi simbol restu, kasih dan harapan keluarga terhadap perjuangan beliau.

“Alhamdulillah, perarakan hari ini berjalan lancar. Sokongan keluarga dan para penyokong menjadi kekuatan paling ampuh buat saya untuk terus berjuang demi Tanjung Batu,” ujarnya sejurus selepas proses penamaan calon pagi tadi.

Pada PRN kali ini, beliau selaku calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Tanjung Batu berdepan calon BN, Samasuddin Yusop, Ayuf Abdul Rahman (Warisan), Zanudin Mingo (PIS) dan Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (GRS).

Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera PN yang sanggup berpanas serta memberi komitmen penuh dalam memastikan kelancaran hari penamaan calon.

“Terima kasih kepada semua jentera PN yang hadir. Semoga setiap titik peluh, usaha dan pengorbanan tuan puan, ibu ayah serta para sukarelawan dibalas dengan rahmat dan rezeki daripada-Nya,” katanya lagi.

Dengan slogan ‘Tanjung Batu Sejahtera, Kita Untuk Semua’, Ahmad berharap momentum sokongan hari ini menjadi tanda bahawa Tanjung Batu akan terus mara bersama PN hingga ke garisan akhir.

DUN Tanjung Batu mempunyai 27,428 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 15/11/2025

- Advertisement -