
LAHAD DATU: “Kunak bukan sekadar tempat saya lahir tetapi tempat yang membentuk diri dan perjuangan saya hari ini,” kata Kasman Karate.
Justeru, katanya, hari ini, beliau berdiri dengan tekad membawa aspirasi untuk membina Kunak yang lebih sejahtera, maju dan harmoni.
“Bikin kasi jadi! Begitu memang,” ujar calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN N.63 Kunak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 itu menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Pada PRN kali ini, beliau berdepan saingan daripada calon GRS, Datuk Norazlinah Arif, Roselih Lumayan (PIS), Ismu Isyam Arsad (PPRS), Datuk Seri Anil Jeet Singh (BN) dan Datuk Jasa @ Ismail Rauddah (Warisan).
Dalam satu kenyataan di laman sosialnya, Kasman berkata beliau adalah anak jati Kunak yang dibesarkan dalam kehidupan kampung penuh nilai kebersamaan.
Menurutnya, bermula sebagai pendidik hingga kini memimpin sebagai Guru Besar SRITI Al-Falah, beliau belajar tentang sabar, amanah dan memahami keperluan setiap keluarga.
Tambahnya, pengalaman sebagai Ahli Majlis Daerah Kunak dan Pemaju Mukim memberi peluang kepadanya untuk turun padang mendengar sendiri keperluan masyarakat serta memastikan pembangunan sampai ke kampung-kampung.
“Di samping tugas rasmi, saya aktif dalam NGO, sukarelawan kesihatan dan program kebajikan kerana bagi saya, khidmat masyarakat ialah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan hati,” ujarnya yang juga yang juga Timbalan Pengerusi PN Lahad Datu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 15/11/2025




















