
PUTATAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Dr Afifi Saif, menawarkan gagasan perubahan demi membina masa depan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas yang lebih sejahtera dan berdaya saing.
Ini susulan reputasi bersih, ketokohan profesional dan rekod khidmat masyarakat yang konsisten daripada beliau sekalipun berdepan saingan 10 penjuru bagi DUN tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Turut bertanding ialah calon daripada Parti Impian Sabah, Parti Kerjasama Anak Negeri, UPKO, Pakatan Harapan, KDM, STAR, Warisan serta dua calon Bebas.
Calon-calon yang bertanding telah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.23 Petagas, Masawi Salleh pada Majlis Penamaan Calon yang berlangsung di Dewan Sri Putatan, pagi tadi.
Sebelum proses penamaan calon, perarakan mengiringi Dr. Afifi bermula di Taman Teluk Villa Putatan menuju ke Pusat Penamaan Calon Dewan Sri Putatan, sebagai simbolik permulaan rasmi perjuangan beliau dalam PRN kali ini.
Perarakan tersebut turut disertai pimpinan utama termasuk Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob.
Dr. Afifi, 43, merupakan seorang doktor perubatan dan aktivis masyarakat yang aktif dalam agenda kesihatan, kebajikan dan pembangunan belia.
Beliau berkhidmat sebagai Pengamal Perubatan sejak lebih sedekad dan dikenali melalui pelbagai program kesihatan komuniti di Putatan serta usaha advokasi berkaitan kesihatan awam.
Selain itu, beliau juga memainkan peranan dalam program sosial, pendidikan dan sukarelawan di bawah gabungan NGO serta gerak kerja masyarakat setempat, menjadikan beliau antara tokoh muda yang menonjol di kawasan Putatan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 15/11/2025




















