Dr Aliakbar hadapi saingan 11 penjuru di DUN Karambunai

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berdepan saingan 11 penjuru bagi DUN N.16 Karambunai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

- Advertisement -

Calon-calon yang turut bertanding di DUN Karambunai ialah daripada Barisan Nasional, Parti Bumi Kenyalang, Parti Kebangsaan Sabah, Parti Gemilang Anak Sabah, Gabungan Rakyat Sabah, Parti Damai Sabah, STAR, Warisan, Parti Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah dan Parti Impian Sabah.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.16 Karambunai, Anidah Hartini Ag Said mengumumkan senarai nama-nama calon yang bertanding pada Majlis Penamaan Calon bagi DUN tersebut di Dewan Maksak Likas di sini hari ini.

Sebelum itu, perarakan mengiring Dr Aliakbar selaku calon PN bermula dari Likas Golf Driving Range menuju ke Drop Point Jalan Teluk Likas sebagai simbolik permulaan rasmi proses penamaan calon.

Antara pimpinan menyertai perarakan tersebut ialah Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Tan Sri Annuar Musa.

Dr Aliakbar, 54, memiliki latar belakang akademik cemerlang dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Geografi Bandar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum ini, beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan bagi penggal 2020–2025, pernah memegang jawatan Pengerusi Kumpulan Medic Iman (KMI) Tawau Medical Centre (2025) serta Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sejak 2023.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama 24 tahun (1996–2020) dan memegang jawatan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dari 2020 hingga 2021.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 15/11/2025

- Advertisement -